M’sia kerjasama dengan rakan ASEM untuk laksana VTL

KUALA LUMPUR, 25 NOV – Malaysia ketika ini sedang bekerjasama dengan beberapa rakan Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) seperti Singapura dan Indonesia untuk melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau berharap dengan penyambungan semula pergerakan penduduk antara negara akan membantu meningkatkan ekonomi, menghidupkan semula mata pencarian dan menyambung kembali hubungan silaturahim.

“Matlamat utama kami adalah untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa, terutamanya mereka yang terdedah kepada pandemik dan hidup dalam keadaan yang mencabar,” katanya pada Sidang Kemuncak ASEM ke-13 yang diadakan secara maya, hari ini.

Ismail Sabri berkata meskipun membawa impak negatif, namun pandemik COVID-19 telah menyediakan peluang kepada dunia.

“Jelas sekali, kita semua terpaksa meningkatkan sumber kita bagi transformasi digital ketika kita membina semula sektor sosioekonomi kita seperti perniagaan, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

“Kita perlu melaksanakan inisiatif padu untuk mengemudi ASEM Connectivity lebih dekat kepada objektif dan prinsipnya,” katanya.

Oleh itu, beliau menyeru rakan-rakan ASEM untuk memudahkan akses pergerakan antara rakyat dan menggalakkan hubungan ekonomi yang lebih kukuh. – Bernama