M’sia komited tingkat hubungan baik pertahanan

JAKARTA, 7 Nov – Malaysia akan terus memperkukuhkan lagi hubungan baik dalam pertahanan dengan Indonesia demi menjaga kepentingan kedua-dua negara, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Hubungan sedia ada itu akan dipertingkatkan dalam semua aspek pertahanan termasuk hubungan antara syarikat pertahanan kedua-dua negara, katanya.

“Penyertaan Malaysia dalam pameran bersempena ‘Indo Defence 2018’, contohnya, membuktikan komitmen Malaysia dalam mengeratkan hubungan sedia ada.

“Penyertaan Malaysia (di pameran Indo Defence 2018) juga diharap dapat menarik lebih penyertaan syarikat berkaitan pertahanan menyertai Lima’19 (Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019),” katanya ketika merasmikan pameran ‘Pavilion Malaysia’ bersempena pameran Indo Defence 2018 yang berlangsung di Jakarta International Expo di Kemayoran, di sini.

Penyertaan Pavilion Malaysia dalam pameran Indo Defence adalah kali keempat sejak penyertaan pertamanya pada tahun 2012.

Pameran Indo Defence edisi kelapan itu diadakan dua tahun sekali dengan matlamat bagi mempromosi industri pertahanan di peringkat antarabangsa.– Bernama