SEPANG, 1 Mac – Malaysia sedang memperincikan kerjasama ketenteraan dengan Arab Saudi dalam pelbagai aspek termasuk kemungkinan melatih anggota tentera laut negara teluk itu dalam kemahiran mengendalikan kapal selam.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perkara itu antara yang dibincangkan dengan delegasi Arab Saudi dalam pertemuan mereka di luar program lawatan negara empat hari Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, yang berakhir hari ini.
“Persefahaman bagi latihan kepada anggota Tentera Laut Arab Saudi itu sebagai persediaan negara itu menerima armada kapal selam pertama mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengucapkan selamat jalan kepada Raja Salman, di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL, di sini.
Hishammuddin yang merupakan menteri pengiring sepanjang lawatan Penjaga Dua Kota Suci itu berkata di pihak Malaysia, beliau sendiri telah meneliti kerjasama berkenaan dan Panglima Tentera Laut Malaysia sedang menguruskan perinciannya. – Bernama