M’sia, Korea meterai MoU tempah produk makanan laut

KUALA LUMPUR, 19 JULAI – Perniagaan Malaysia dan pengeksport makanan laut premium Korea memeterai lima memorandum persefahaman (MoU) semasa Mesyuarat Perniagaan Dalam Talian Makanan Laut Korea 2020 yang diadakan baru-baru ini, dengan tempahan yang disahkan bagi produk kudapan makanan laut bernilai lebih AS$10,000.

Persekutuan Koperasi Perikanan Nasional (NFFC) Korea Selatan dalam satu kenyataan berkata acara perangkaian dalam talian selama empat hari itu dikendalikan oleh K·FISH, jenama nasional eksport perikanan di bawah Kementerian Laut Korea Selatan dan jalFisheries.

Sebanyak 18 pengimport Malaysia dan 10 pengeksport Korea Selatan mengambil bahagian dalam mesyuarat maya itu bagi meningkatkan kerjasama dan perniagaan.

NFFC berkata sembilan daripada 18 pengimport Malaysia itu telah pun bertahun-tahun mengimport makanan laut dan kudapan dari Korea.

“Mereka berbincang dengan 10 pengeksport yang telah dipilih terlebih dahulu, merangkum pelbagai jenis produk daripada produk segar seperti halibut, tiram dan abalon, serta produk diproses lain seperti rumpai laut, kudapan bilefish atau pollock dan kudapan makerel,” kata persekutuan itu.

Menurutnya, pengimport Malaysia juga semakin berminat dengan sosej ikan, kudapan nasional Korea Selatan. – Bernama