M’sia lancar kerangka dasar luar

KUALA LUMPUR, 7 DIS – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Kerangka Dasar Luar bertemakan Focus in Continuity: A Framework for Malaysia’s Foreign Policy in a Post-Pandemic World untuk memperkasakan lagi dasar diplomasi Malaysia.

Beliau berkata kerangka kerja itu mengenal pasti cabaran dan kemunculan trend baharu global serta isu yang harus diberi keutamaan dalam jangka masa terdekat.

Kerangka kerja itu merangkumi dua komponen utama iaitu cabaran semasa yang perlu diberikan perhatian dan ditangani segera oleh Kerajaan terutama dalam konteks pandemik COVID-19; dan hala tuju hubungan antarabangsa Malaysia untuk jangka masa sederhana dan panjang. 

“Kerangka kerja itu adalah dokumen yang pragmatik dan holistik yang menetapkan langkah yang jelas dan tindakan terarah bagi dasar luar negara untuk mencapai matlamat utamanya dalam memupuk masa depan yang lebih aman serta makmur,” kata Ismail Sabri ketika berucap melancarkan Kerangka Dasar Luar itu.

Antara yang hadir pada majlis pelancaran itu Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan timbalannya Datuk Kamarudin Jaffar, Ketua-Ketua Perwakilan Asing ke Malaysia dan ahli-ahli Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar Negeri (CCFP).

Kerangka kerja itu menumpukan kepada lapan keutamaan iaitu menurut Ismail Sabri yang pertama adalah menggiatkan semula hubungan Malaysia di dalam ekonomi global, dengan menekankan kepada mewujudkan kerjasama erat dengan negara lain di platform antarabangsa. Kedua, memfokuskan kepada diplomasi kesihatan, merangkumi tindakan yang tidak hanya semata-mata tertumpu kepada menerima atau menyumbang vaksin dan peralatan perubatan lain.

Ini memerlukan Malaysia terlibat secara langsung dalam pembuatan dan pengurusan rantaian bekalan vaksin di seluruh dunia, katanya.

Ketiga, membangunkan ekonomi digital yang merupakan satu daripada pemacu utama Malaysia untuk pertumbuhan ekonomi, manakala yang keempat adalah membentuk norma dan undang-undang keselamatan siber antarabangsa bagi melindungi kepentingan Malaysia.

Beliau berkata keutamaan yang kelima adalah menekankan kepada diplomasi budaya untuk meningkatkan keunikan identiti Malaysia di pentas global dan pada masa sama mempromosikan akses pasaran lebih luas untuk produk budaya Malaysia. – Bernama

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan semasa majlis pelancaran kerangka dasar luar bertemakan Focus in Continuity: A Framework for Malaysia’s Foreign Policy in a Post-Pandemic World, kelmarin. – Bernama