M’sia mahu cabar pasukan lebih baik

KUALA LUMPUR, 4 OKT – Malaysia tidak menoleh ke belakang dalam mendepani cabaran intensiti permainan bola sepak moden dengan terus menyasarkan pasukan di ranking dunia lebih baik sebagai lawan untuk menguji keupayaan skuad kebangsaan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata susulan itu, Malaysia tidak boleh terus mengadakan perlawanan persahabatan menentang negara di ranking lebih rendah jika ingin melihat kemajuan prestasi pasukan. Beliau berkata fokus pasukan juga adalah memastikan tahap prestasi barisan pemain negara semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Cuma kadang-kadang dalam aspek kejurulatihan, diperlukan juga perlawanan menentang pasukan di ranking lebih rendah. Maksudnya, kita ingin lebih perlawanan berintensiti tinggi dan mungkin sesekali jika ada keperluan, baru lawan pasukan lebih rendah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mohd Yusoff yang juga pengurus skuad kebangsaan berkata meskipun kerap menentang negara di ranking lebih baik, sekira-nya gagal meraih keputusan baik, pemain berpotensi hilang keyakinan. – Bernama