M’sia mampu bersaing dalam eksport perabot kayu

KOTA TINGGI, 1 NOV – Malaysia mampu bersaing di persada dunia untuk menguasai pasaran perabot kayu memandangkan ia mendapat permintaan yang tinggi dan nilai eksport dijangka meningkat tahun ini walaupun dilanda pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata Malaysia mendapat permintaan tinggi perabot kayu daripada beberapa negara antaranya ialah Amerika Syarikat dan Eropah.

“Walaupun Malaysia berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, negara mencatatkan sebanyak RM11 bilion nilai eksport dan ia dijangka meningkat tahun ini kepada RM13 bilion kerana permintaan meningkat.

“Ini adalah pasaran tradisional yang dimiliki Malaysia dan ia menunjukkan negara kita memang mampu bersaing dalam arena antarabangsa untuk menguasai pasaran di luar negara,” katanya pada sidang media selepas melawat Stesen Penyelidikan Lembaga Getah Malaysia di Bandar Penawar, di sini hari ini. – Bernama