M’sia manfaatkan perjanjian ECRL bagi pembelian minyak sawit oleh China

PUTRAJAYA, 15 April – Malaysia memanfaatkan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) Projek Rel Pantai Timur (ECRL) bagi merangka butiran membabitkan pembelian minyak sawit oleh China, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada perjanjian antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) yang dimeterai baru-baru ini, turut membabitkan persetujuan termasuk eksport minyak sawit dan pelaburan dari China.

“Ini secara tidak langsung, tidak berkaitan…(namun) kita memanfaatkan pemeteraian itu untuk merangka pembelian minyak sawit dari China.

“Itu akan berlaku,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Laporan sebelum ini menyatakan bahawa rundingan pakej ECRL itu turut membabitkan komitmen China bagi membeli lebih banyak minyak sawit dari Malaysia selain meningkatkan pelaburan langsungnya ke Malaysia. – Bernama