KUALA LUMPUR, 20 JAN – Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun bermula Februari ini, sebaik sahaja vaksin Pfizer (kanak-kanak) tiba di Malaysia mulai 31 Januari.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu adalah berdasarkan data, maklumat dan pandangan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG), dan panel penulis Garis Panduan Klinikal Vaksinasi COVID-19 Kanak-Kanak.
“Pelancaran program pemberian vaksinasi kanak-kanak berusia lima tahun hingga bawah 12 tahun akan diadakan pada 3 Februari ini di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.
Beliau berkata tempahan janji temu vaksinasi bagi kanak-kanak tersebut akan dibuka secara berperingkat bermula 31 Januari ini, dan dibuka kepada ibu bapa yang tinggal di Lembah Klang dahulu, namun perinciannya akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
“Sistem tempahan janji temu melalui MySejahtera akan mula dibuka pada peng-hujung Januari 2022, dan sebagai permulaan ibu bapa boleh mula mendaftarkan anak sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera mereka,” katanya.
Khairy berkata keutamaan untuk pemberian vaksin pada permulaan program ini adalah kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit respiratori kronik, kardiovaskular, kencing manis dan penyakit saraf, kerana mereka lebih berisiko untuk mendapat penyakit COVID-19 yang teruk.
Beliau berkata formulasi vaksin COVID-19 Comirnaty yang akan digunakan dalam program vaksinasi adalah formulasi khas untuk kanak-kanak, dan dibekalkan di dalam bebuli 10-dos (penutup jingga) dan perlu dicampur dengan 1.3 mL larutan garam biasa.
“Setiap dos yang diberikan adalah 0.2 mL dan mengandungi 10mcg vaksin mRNA. Dos ini merupakan satu pertiga daripada dos yang digunakan bagi dos dewasa. Program vaksinasi kanak-kanak ini memerlukan dua suntikan dos vaksin dengan sela masa lapan minggu, selepas dos pertama,” katanya. – Bernama