Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    M’sia naik dua anak tangga dalam laporan daya saing global 2017-2018

    KUALA LUMPUR, 27 Sept – Malaysia naik dua anak tangga kepada kedudukan ke-23 daripada 137 negara dalam Laporan Daya Saing Global (GCR) 2017-2018 berbanding tahun lepas pada kedudukan ke-25 daripada 138 negara.

    Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), Malaysia mengatasi Ireland, Qatar dan kekal berada di hadapan ekonomi seperti Korea Selatan, China, Iceland dan Estonia.

    Kajian yang menggunakan 70 peratus data tinjauan dan 30 peratus ‘hard data’ daripada 137 negara, mengambil kira 12 tonggak daya saing untuk menentukan kedudukan negara.

    Secara keseluruhannya, Switzerland disenaraikan sebagai ekonomi paling kompetitif di dunia untuk tahun kesembilan berturut-turut, mengatasi Amerika Syarikat dan Singapura, diikuti Belanda dan Jerman.

    Malaysia Productivity Corp (MPC), yang mengeluarkan data tersebut di peringkat tempatan, berkata prestasi Malaysia terus kukuh dan konsisten berikutan ia mengekalkan pada kedudukan 25 teratas.

    “Antara ekonomi pesat membangun di rantau Asia Timur dan Pasifik, Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai yang paling kompetitif dalam peringkat peralihan daripada dipacu kecekapan kepada dipacu inovasi,” kata Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd Razali Hussien, pada sidang media.

    Beliau berkata kedudukan lebih baik itu berikutan peningkatan dari segi skor daripada 10 petunjuk dalam 12 tonggak yang mengukur aspek daya saing ekonomi makro dan mikro. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda