Wednesday, April 23, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    M’sia perlu berdikari hasilkan makanan sendiri

    KENINGAU, 24 Okt – Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Sabah, Datuk Mohd Suhaili Mohd Taufek berkata, sudah tiba masanya bagi Malaysia berdikari menghasilkan pelbagai keperluan makanannya sendiri.

    Katanya negara ini perlu berusaha keras bagi mengelak daripada terus bergantung kepada negara-negara luar untuk mendapatkan bekalan bahan makanan.

    “Melihat kepada pertambahan rakyat yang semakin pesat, keperluan makanan  sendiri sangat perlu dan kita tidak seharusnya bergantung pada mana-mana negara lain… Sebenarnya negara (Malaysia) ini jauh lebih mampu untuk melakukannya (tidak pengimport makanan)  kerana kita mempunyai banyak sumber,” katanya kepada Bernama selepas mendengar taklimat pengurusan ladang tenusu Evergreen Livestock Sendirian Berhad oleh pemilik ladang itu Prof (Adjung) Datuk Yap Yun Fook.

    Yap merupakan Penasihat Pertanian Negara yang baharu sahaja dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Okt lepas.

    Suhaili berkata, Malaysia sudah merdeka sekian lama namun masih tidak dapat menghasilkan kebanyakan sumber makanan sendiri sehingga  pengaliran wang ke luar negara begitu banyak untuk membeli bahan makanan import.

    Katanya, keadaan itu boleh ditangani dengan merancakkan aktiviti pengeluaran makanan berasaskan inovasi ke atas industri sedia ada, selain memberi sokongan serta galakan khusus kepada pemain industri yang berkaitan.

    “Sebagai contoh ladang Datuk Yap, saya sangat tertarik dengan ekosistem berasaskan alam semula jadi yang beliau (Datuk Yap) aplikasikan. Berasaskan lembu tenusu, kitaran buangannya boleh menghasilkan pelbagai sumber pertanian dalam masa yang sama…ia sangat kreatif dan inilah bentuk inovasi yang boleh digunapakai di seluruh negara,” katanya.

    Menurutnya Yap berjaya mengaplikasikan pengetahuannya semaksimumnya untuk memartabatkan industri pertanian sebagai satu perniagaan komersial yang menguntungkan.

    Suhaili berkata kejayaan Yap berkenaan seharusnya boleh membuka mata kakitangan perkhidmatan awam  supaya lebih kreatif dan berinovasi untuk menghasilkan mutu kerja berasaskan apa yang ada di sekitar mereka.– Bernama

    Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Sabah Datuk Mohd Suhaili Mohd Taufek terpegun melihat seekor anak lembu tenusu di Ladang Evergreen Livestock Sendirian Berhad milik Penasihat Pertanian Malaysia Prof (Anjung) Datuk Yap Yun Fook (dua, kiri) hari ini. Suhaili berkata Malaysia perlu berusaha untuk mengeluarkan makanan sendiri dan melepaskan diri daripada pergantungan import makanan daripada negara luar. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda