Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    M’sia perlu harmonikan piawaian domestik, antarabangsa

    KUALA LUMPUR, 12 Mac – Malaysia perlu melakukan usaha pengharmonian antara piawaian antarabangsa dan domestik dalam proses pasca perdagangan bagi membolehkannya memacu pertumbuhan di pasaran modal.

    Pengarah Eksekutif dan Ketua Pembangunan Perniagaan Rantau Asia Pasifik Depository Trust & Clearing Corporation (DTCC), Hasan Rauf berkata proses pasca perdagangan itu merujuk satu infrastruktur bagi menyokong aspek padanan dagangan serta butiran komunikasi masa sebenar antara pihak-pihak terbabit.

    Bagaimanapun, cabaran pasaran adalah untuk melaksanakan infrastruktur yang menyokong keperluan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

    “Pasaran modal Malaysia adalah pelbagai dan merangkumi portfolio domestik mahupun antarabangsa. Malah, pasaran modal Malaysia juga sesuai bagi mencatat pertumbuhan berleluasa serta untuk tujuan pengantarabangsaan.

    “Bagaimanapun, cabarannya adalah untuk syarikat-syarikat ini menepati keperluan pengawalseliaan yang merentasi pelbagai bidang kuasa,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

    Hasan Rauf semasa ditemu bual oleh Bernama mengenai usaha pengharmonian antara piawaian antarabangsa dan domestik dalam proses pasca perdagangan bagi membolehkannya memacu pertumbuhan di pasaran modal. – Bernama
    Hasan Rauf semasa ditemu bual oleh Bernama mengenai usaha pengharmonian antara piawaian antarabangsa dan domestik dalam proses pasca perdagangan bagi membolehkannya memacu pertumbuhan di pasaran modal. – Bernama

    Menurut Hasan, DTCC yang merupakan penyedia utama infrastruktur pasaran pasca perdagangan bagi industri perkhidmatan kewangan global, mampu menyediakan keperluan aspek infrastruktur bagi perdagangan antarabangsa, termasuk mengurangkan risiko operasi yang boleh menyebabkan kegagalan atau melengahkan usaha perdagangan.

    Katanya, bersandarkan pengalaman lebih 40 tahun merangkumi kemudahan operasi, pusat data dan pejabat di 16 negara, DTCC menerusi anak syarikatnya terbabit dalam usaha automasi, pemusatan serta menyeragamkan pemprosesan transaksi kewangan pasca perdagangan.

    Ini katanya, termasuk pengurangan risiko, meningkatkan ketelusan dan memacu kecekapan ribuan broker/peniaga, bank pemegang amanah dan pengurus aset di serata dunia.

    Pelanggan DTCC di Malaysia termasuk institusi berkaitan kerajaan serta daripada industri perbankan.

    “Malaysia seperti juga pasaran modal di Australia dan Thailand, memiliki pasaran domestik yang kukuh.

    “Sejajar usaha banyak syarikat di Malaysia mengalihkan strategi perdagangan dengan membangunkan pelbagai dana pelaburan luar pesisir yang berurusan di beberapa negara, DTCC dapat membantu syarikat berkenaan dari segi penyeragaman proses dan perdagangan berkaitan,” katanya.

    Menurutnya, pasaran maju seperti Hong Kong dan Australia yang operasinya melibatkan kitaran penyelesaian sekuriti lebih singkat berbanding Malaysia, akan turut memberi kesan terhadap infrastruktur perdagangan negara ini.

    Justeru, beliau melihat cabaran untuk Malaysia adalah dari segi perbezaan amalan di peringkat tempatan serta antarabangsa kerana tidak semua syarikat atau firma melaksanakan proses automasi yang menyokong usaha pengantarabangsaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda