Wednesday, April 23, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    M’sia persoal cara Myanmar tangani isu Rohingya

    MANILA, 21 Sept – Malaysia hari ini membuat kenyataan tegas yang mempersoalkan sikap dan cara kerajaan Myanmar menangani isu Rohingya hingga sanggup menafikan permintaan masyarakat antarabangsa untuk memberi bantuan kemanusian kepada kumpulan etnik itu dan lebih mengecewakan, membunuh wanita dan kanak-kanak Rohingya.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia yang  tidak berhasrat mencampuri urusan negara itu,  sebenarnya tidak dapat menerima tindakan keras Myanmar itu malahan menuntut supaya tindakan yang lebih demokratik dan mengikut piawaian antarabangsa  digunakan untuk menyelesaikan masalah dalaman negara itu.

    “Soal keselamatan adalah soal dalam negara mereka, dan  Malaysia tidak berhajat untuk campur tangan tetapi kita mahu supaya sebagai negara yang menuju negara demokratik  maka sistem demokrasi hendaklah dilaksanakan,” katanya kepada media Malaysia di sini hari ini sejurus selepas Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-11??? di sini yang berlangsung sejak Selasa, dan berakhir hari ini.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau mengeluarkan kenyataan spontan itu yang juga pandangan rasmi kerajaan dan hasrat rakyat Malaysia, setelah wakil kerajaan Myanmar ketika agenda perbincangan hal-hal lain pada mesyuarat itu, membuat kenyataan seolah-olah menjustifikasikan tindakan ketenteraan yang dilakukan terhadap etnik Rohingya yang kononnya adalah kumpulan pengganas dan militan Islam.

    “Saya tidak boleh menerima situasi itu. Saya telah timbulkan (pada mesyuarat itu) adakah wanita dan kanak-kanak tergolong sebagai kumpulan pengganas.

    “Adakah bantuan-bantuan kemanusian tidak boleh sampai ke Myanmar hingga kami dan  masyarakat antarabangsa terpaksa menggunakan negara jiran khususnya Bangladesh sebagai negara yang menyalurkan bantuan kemanusiaan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda