M’sia rai kebangsaan dengan normal baharu

KUALA LUMPUR, 30 OGOS – Malaysia akan melakar sejarah tersendiri esok (31 Ogos) bagi Sambutan Hari Kebangsaan 2020 yang akan diadakan dengan amalan normal baharu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang dikuatkuasakan.

Jika sambutan sebelum ini dimeriahkan dengan perbarisan dan perarakan pasukan beruniform serta agensi kerajaan dan swasta tetapi pada kali ini perarakan seumpamanya tidak diadakan dan digantikan dengan acara membabitkan pergerakan dan jumlah minimum hadirin.

Acara kali ini, dijadual bermula jam 8 pagi di Dataran Pahlawan, Putrajaya itu membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tiada penyertaan daripada komponen lain bagi menjaga penjarakan fizikal susulan pandemik COVID-19.

Majlis dijadualkan bermula dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Dataran Pahlawan dengan disambut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia kemudian diikuti dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’ dan titah diraja sempena Hari Kebangsaan 2020 dengan tema ‘Malaysia Prihatin’.

Sementara itu di Putrajaya, hari ini telah dimeriahkan perarakan 88 ekor kuda sejauh 6.7 kilometer sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2020 dan Jubli Perak Putrajaya.

Perarakan berkuda itu yang membawa Jalur Gemilang dan bendera Jubli Perak Putrajaya diketuai oleh Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim, melibatkan unit berkuda daripada empat agensi iaitu PPj, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia dan Briged Ekuin Angkatan Pertahanan Awam.

Jumlah 88 ekor kuda itu adalah simbolik 63 tahun kemerdekaan negara dan 25 tahun penubuhan Putrajaya. – Bernama

Komandan Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis DiRaja Malaysia, Noor Hidayah Damanhoori memimpin pasukannya semasa menyertai Perarakan Pasukan Berkuda Perkhidmatan Awam sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2020 dan Jubli Perak Putrajaya di Jambatan Putra. – Bernama