M’sia rekod 150 kes baharu, satu kematian

KUALA LUMPUR, 27 SEPT – Kes baharu COVID-19 di Malaysia kembali mencatat tiga angka iaitu 150 kes, dengan tiga kluster baharu dikesan, selain satu kematian direkod dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu yang dicatat itu merangkumi 146 kes tempatan terdiri daripada 124 warga Malaysia, manakala 22 kes lagi bukan warganegara.

Sabah terus merupakan negeri yang mencatat kes paling tinggi iaitu 124 kes; diikuti Selangor dengan 10 kes; empat kes di Pahang; tiga kes di Kuala Lumpur; dua kes di Johor dan Sarawak; manakala satu kes dicatatkan di Melaka.

“Antara pecahan kes di Sabah ialah 58 kes daripada Kluster Benteng Lahad Datu (LD) melibatkan 55 warganegara dan tiga bukan warganegara, 20 kes Kluster Bangau-Bangau melibatkan 12 warganegara dan lapan bukan warganegara.

“Sejumlah 13 kes pula daripada Kluster Bakau melibatkan empat warganegara dan sembilan bukan warganegara manakala 10 kes daripada Kluster Pulau, melibatkan sembilan warganegara dan satu bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, tiga kes di Pahang, dua di Johor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Melaka melibatkan kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

Dr Noor Hisham berkata, dengan jumlah kes baharu hari ini menjadikan kes terkumpul COVID-19 di negara ini kini 10,919 dan kes aktif dengan kebolehjangkitan ialah 950 kes.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bagi empat kes import yang dilaporkan, tiga daripadanya adalah individu pulang dari Arab Saudi (dua kes di Kuala Lumpur dan satu di Selangor) manakala satu kes pulang dari India (dilaporkan di Kuala Lumpur melibatkan warga tempatan).

Mengenai jumlah kematian, beliau berkata satu kematian baharu yang dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 negara ialah 134 kes (1.23 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Kes kematian ke-134 (iaitu kes ke-10,491) merupakan wanita warga Malaysia berumur 81 tahun. Beliau mengalami gejala demam dan batuk berkahak pada 14 September dan dibawa ke Hospital Semporna pada 17 September.

“Saringan COVID-19 didapati positif pada 22 September. Pada 26 September, kes dipindahkan ke Hospital Tawau, Sabah. Keadaan kes didapati merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari yang sama. Beliau disahkan meninggal dunia pada 27 September pukul 12:52 pagi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata 50 kes pulih dilaporkan hari ini, manakala enam kes positif sedang dirawat di ICU dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. – Bernama