M’sia rugi RM8 bilion akibat NCD

KUALA LUMPUR, 8 SEPT – Penyakit tidak berjangkit (NCD) terutamanya penyakit kardiovaskular, kencing manis dan kanser menyebabkan negara menelan belanja sebanyak RM8.91 bilion atau menyamai 0.65 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Memetik laporan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), beliau berkata kos itu dikira berdasarkan kerugian produktiviti akibat ketidakhadiran, kedatangan ke tempat kerja dan kematian pramatang usia bekerja penduduk di Malaysia.

“Selain kerugian produktiviti, penyakit tidak berjangkit turut meninggalkan beban kesihatan kepada negara akibat kecacatan dan kehilangan hidup yang sihat bertahun-tahun, dipanggil kos beban penyakit.

“Ini adalah kos tidak ketara yang dianggarkan sekitar RM100.79 bilion, bersamaan dengan 7.35 peratus KDNK,” katanya dalam kenyataan bersama WHO, hari ini.

Laporan yang dikeluarkan hari ini bertajuk ‘Kesan Penyakit Tidak Berjangkit dan Faktor Risiko Terhadap KDNK Malaysia’ yang menggunakan data 2017.

Dr Noor Hisham juga berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 menunjukkan kelaziman NCD di negara ini terus meningkat.

Sementara itu, wakil WHO di Malaysia Dr Lo Ying-Ru berkata NCD selalu dikaitkan dengan kos penjagaan kesihatan, namun bukti seperti laporan ini menunjukkan bagaimana NCD menghalang kemajuan sosial dan ekonomi negara.

“Setiap kecacatan dan kematian pramatang akibat penyakit tidak berjangkit adalah tragis kerana kita tahu ia boleh dicegah.

“Jika kita tidak mampu menguruskan NCD di negara ini, ia akan menyebabkan kesan yang signifikan terhadap kesihatan dan ekonomi. Kita memerlukan pendekatan kerajaan dan masyarakat secara menyeluruh dan menyelamatkan nyawa dan kehidupan,” katanya.

Menurut laporan itu, diet yang tidak sihat menyumbang kepada dua pertiga (68.9%) kos kehilangan produktiviti akibat kematian pramatang penyakit kardiovaskular sementara penggunaan tembakau menyumbang kepada lebih satu pertiga (36.9%) kerugian. – Bernama