M’sia setuju mansuh hukuman mati

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Kabinet Malaysia sebulat suara bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati, kata seorang menteri kanan hari ini dalam satu keputusan yang disokong oleh kumpulan-kumpulan hak asasi manusia.

Hukuman mati di Malaysia buat masa ini merupakan satu hukuman mandatori bagi kesalahan seperti membunuh, menculik, memiliki senjata api dan pengedaran dadah.

Pelaksanaan hukuman mati di Malaysia menerusi teknik gantung merupakan satu legasi daripada zaman penjajahan.

“Saya harap undang-undang akan dipinda tidak lama lagi,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo kepada AFP ketika mengesahkan kabinet sudah bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, semua pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.

Beliau berkata, kabinet sudah membuat keputusan untuk memansuhkan pelaksanaan hukuman mati, bagaimanapun terdapat beberapa perkara yang perlu diperincikan.

“Kita akan memaklumkan kepada lembaga pengampunan untuk melihat permohonan banduan yang kini dalam senarai hukuman mati, sama ada dilepas atau diringankan.

Bagaimanapun, bagi kesalahan dadah ia mungkin berbeza kerana mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau sebaliknya,” katanya kepada media selepas Bual Bicara Reformasi Undang-undang di Universiti Malaya, kelmarin.

Vui Keong berkata, semua kertas kerja kini di peringkat akhir dan Peguam Negara sudah memberi isyarat ia sudah siap untuk dibentangkan di Parlimen bermula 15 Oktober ini.

“Ini adalah perkembangan penting bagi negara dan saya harap ia akan mendapat kelulusan supaya rang undang-undang pemansuhan dapat dibentangkan dengan segera,” katanya.

Kerajaan memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati kerana ramai yang dengan keras membantah hukuman itu. Keputusan itu dialu-alukan oleh penyokong hak asasi manusia.

“Hukuman mati sangat kejam. Sesuatu yang tidak boleh dibayangkan sama sekali,” kata N. Surendran, seorang penasihat kumpulan hak asasi tempatan menerusi kenyataannya.

Sebaik sahaja hukuman mati dimansuhkan, Malaysia mempunyai hak untuk memperjuangkan mereka yang berdepan hukuman mati di luar negara, tambah beliau. – AFP