M’sia, Singapura, Indonesia sambut aidilfitri ahad ini

KUALA LUMPUR, 22 MEI – Umat Islam di Malaysia, Singapura dan Indonesia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Ahad ini, 24 Mei dengan Sabtu merupakan hari terakhir mereka berpuasa.

Pengumuman di Malaysia dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad malam ini. “Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Ahad, 24 Mei 2020,” katanya.

Manakala menurut kenyataan yang dikeluarkan di Singapura, Mufti Dr Naziruddin Mohd Nasir berkata, “Mengikut kiraan hisab, anak bulan Syawal tidak mungkin dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi, kerana bulan telah terbenam lebih awal. Ini bererti esok adalah hari penggenap bulan Ramadan 30 hari dan awal bulan Syawal tahun 1441H, iaitu Hari Raya Aidilfitri, jatuh pada lusa, Ahad bersamaan 24 Mei 2020.”

Di Indonesia, Menteri Agama Indonesia Facrul Razi berkata tarikh 1 Syawal 1441H itu dicapai menerusi persidangan isbat video disertai antaranya tokoh-tokoh dan pemimpin organisasi Islam di Indonesia serta pakar falak dan astronomi. – Bernama