M’sia terima RM1.9 bilion dana 1MDB

KUALA LUMPUR, 12 MEI – Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa kira-kira RM1.9 bilion (AS$452.36 juta) telah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).

Wang berkenaan adalah sebahagian daripada dana berkaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang telah disita, demikian menurut kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sehingga kini, Akaun Amanah berkenaan – di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara – telah menerima sebanyak RM16.05 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.

Jumlah di dalam Akaun Amanah berkenaan  akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Setakat ini, kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.4 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC. Baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon, keuntungan, faedah bagi bon, Sukuk dan pinjaman berjangka, adalah sebanyak RM39.8 billion (1MDB) dan RM2.57 bilion (SRC). – Bernama