Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    M’sia tersingkir dari Piala AFF

    THAILAND, 11 JAN – Penyingkiran Malaysia daripada kempen Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 setelah dikalahkan oleh skuad Thailand, boleh menjadi titik permulaan buat semua pemain yang membentuk skuad Harimau Malaya kali ini, kata pemain pertahanan Sharul Nazeem Zulpakar.

    Meskipun kekalahan kepada juara bertahan Thailand sukar diterima, pemain muda Selangor FC itu berkata segala kelemahan yang terbukti, perlu diperbaiki menjelang Piala Asia 2023 di Qatar dijadual pada Januari 2024.

    Dari segi persembahan menentang Thailand, Sharul Nazeem berkata Malaysia tampil dengan pendekatan taktikal sama dalam kedua-dua aksi separuh akhir sekali gus menampakkan secara keseluruhan Thailand sebagai pasukan lebih bagus.

    “Semestinya kekalahan ini sukar untuk kami terima…saya rasa inilah titik permulaan yang baru bagi kami. Kami mungkin sedikit penat tetapi tetap berjuang, saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang berjuang habis-habisan, saya rasa banyak kami perlu perbaiki untuk Piala Asia nanti.”

    “Perlawanan ini mungkin disebabkan kelemahan kami, mungkin Thailand tahu kelemahan kami, jadi kami perlu perbaiki apa yang telah mereka lakukan terhadap kami,” kata pemain berusia 23 tahun itu selepas perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Thammasat, Thailand, kelmarin.

    Pemain Thailand, Teerasil Dangda (tengah) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol di Stadium Thammasat di Bangkok. – AFP

    Pada pertembungan itu, skuad Gajah Perang menang 3-0 menerusi tandukan penyerang prolifiknya, Teerasil Dangda pada minit ke-19 sebelum pemain sayap Bordin Phala dan penyerang gantian Adisak Kraisorn, masing-masing mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-55 dan 71. Malaysia, juara 2010, tewas dengan keputusan agregat 1-3.

    Thailand akan membuat perhitungan menentang juara dua kali, Vietnam, pada perlawanan final Jumaat ini dan Isnin minggu depan.

    Mengulas lanjut, Sharul Nazeem mengakui terdapat perbezaan kualiti antara pemain Malaysia dan Thailand serta berbangga dengan pencapaian mara ke separuh akhir dilakar mereka.

    Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon pada Piala AFF 2022 ini diperkuatkan oleh kebanyakan muka baharu selepas kira-kira 14 orang pemain utama tidak dapat menyertai atas alasan urusan peribadi, komitmen keluarga dan masalah kecederaan.

    Pencapaian mara ke separuh akhir kali ini menyaksikan Malaysia memperbaiki rekod tersingkir seawal saingan peringkat kumpulan pada edisi lepas, yang juga membawa kepada keputusan bekas Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe melepaskan jawatan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...