M’sia terus catat peningkatan kes COVID-19

KUALA LUMPUR, 24 NOV – Malaysia hari ini merekodkan jumlah kes harian tertinggi jangkitan COVID-19 baharu dengan 2,188 kes. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor masih merekodkan angka tertinggi dengan 1,623 kes,  yang sebahagian besarnya melibatkan Kluster Teratai iaitu 1,511 kes. “Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 58,847 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 14,353 kes,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata  bilangan kes sembuh pula sebanyak 1,673 kes, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh sepenuhnya ialah 44,153 kes atau 75 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau turut melaporkan empat kematian baharu menjadikan jumlah keseluruhan yang maut akibat COVID-19 kini 341 kes.  Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata pada masa ini terdapat 112 kes positif yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 49 pesakit memerlukan bantuan pernafasan. Menurut Dr Noor Hisham tiada kes import dilaporkan hari ini, manakala penularan tempatan menyaksikan Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi daripada kluster tempat kerja di kawasan Lembah Klang dan Selangor kebelakangan. – Bernama

TERBANG BEBAS… Burung Cak Rumah kelihatan terbang bebas melepasi kawalan kawat duri yang dipasang oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sekeliling kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi ketika tinjauan kelmarin. Selangor dan Lembah Klang mencatatkan kes virus tertinggi, kebanyakannya berkaitan kluster tempat kerja. – Bernama