M’sia tidak lanjutkan perintah darurat

KUALA LUMPUR, 26 JULAI – Kerajaan Malaysia tidak akan melanjutkan perintah darurat akibat koronavirus melebihi tempoh 1 Ogos, menurut salah seorang menteri hari ini, ketika parlimen disambung semula selepas digantung selama berbulan-bulan yang mencetuskan kemarahan awam.

Yang di-Pertuan Agong pada Januari lalu mengisytiharkan perintah darurat buat kali pertama dalam tempoh lebih setengah abad bagi memerangi penularan COVID-19, berikutan nasihat daripada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin (gambar).

Ini membolehkan kerajaan untuk memerintah atas titah itu dan menggantungkan parlimen, mencetuskan kritikan bahawa Muhyiddin menggunakan krisis itu untuk mengelak undi tidak yakin dan menutup kelemahan parti gabungan

Meskipun perintah darurat dan berkurung di seluruh negara, penularan tetap bertambah teruk, berpunca dari varian Delta yang mudah menular. Kes keseluruhan Malaysia kini melepasi angka satu juta pada hujung minggu dan mencatatkan kira-kira 8,000 kematian.

Berdepan dengan kemarahan awam dan tekanan daripada Yang Dipertuan Agong, Muhyiddin bersetuju untuk membuka semula parlimen selama lima hari sebelum perintah darurat mansuh hujung bulan hadapan.

Walau bagaimanapun, pihak pembangkang menyelar sesi singkat itu sebagai pembohongan semata-mata.

Menteri Undang-undang, Takiyuddin Hassan mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan meminta untuk melanjutkan tempoh perintah darurat.

Muhyiddin turut mempertahankan caranya menangani pandemik, mengatakan beliau memahami ‘kegelisahan orang awam di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19’.

“Kerajaan tidak akan berdiam diri dan hanya melihat orang awam menderita – kami akan bertindak untuk menyelamatkan nyawa.”- AFP