KUALA LUMPUR, 24 Jan – Malaysia tidak terkejut dengan pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dan akan terus berurusan dengan pentadbiran baharu negara itu bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan ekonomi.
Malaysia bagaimanapun, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed (gambar), akan terus memantau perkembangan membabitkan dasar perdagangan AS.
“Biarpun pendirian pentadbiran baharu AS itu jelas mengenai TPP, kita akan terus berurusan dengan rakan AS untuk mengukuhkan hubungan dua hala perdagangan dan ekonomi memandangkan kedudukan negara itu sebagai rakan dagang ketiga terbesar dan sumber utama pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Trump bertindak menandatangani Arahan Eksekutif penarikan diri AS daripada TPP pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata tindakan Trump itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana beliau sudah berikrar untuk memastikan AS keluar daripada TPP kerana menganggap perjanjian berkenaan boleh menjejaskan ekonomi negara itu.
“Perjanjian perdagangan itu adalah dokumen yang seimbang dan memberi manfaat kepada semua 12 negara anggotanya. Malah, ia turut menguntungkan AS dari segi mendapat akses lebih baik ke pasaran di negara yang tiada perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengannya seperti Jepun, Vietnam dan Malaysia,” katanya.
Mustapa berkata, Trump memberi alasan TPP itu boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan di AS serta pengaliran keluar dana ke negara-negara lain TPP.
Ini bermakna, negara-negara itu termasuk Malaysia akan mendapat manfaatnya manakala AS mengalami kerugian.
Jelas Mustapa, susulan perkembangan terbaharu di AS, kalangan ketua perunding TPPA di 11 negara lain akan sentiasa saling berkomunikasi untuk mempertimbangkan semua pilihan yang ada sebelum memutuskan langkah seterusnya.
“Mereka sememangnya sudah bekerjasama erat sejak lima tahun lepas dan akan meneruskan komunikasi itu.” – Bernama