M’sia tingkatkan usaha cegah ‘berita palsu’

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kerajaan Malaysia hari ini mencadangkan undang-undang bagi menangani ‘berita palsu’ yang boleh mengakibatkan para pesalah dipenjarakan 10 tahun, yang telah mencetuskan kebimbangan bahawa pihak berkuasa berusaha untuk membendung kritikan ketika musim pilihan raya yang semakin dekat ini.

Kerajaan di beberapa negara, didorong oleh bantahan keras Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke atas ‘berita palsu’, sedang menimbangkan perundangan seumpama itu.

Namun kumpulan-kumpulan hak asasi memberi amaran bahawa rejim-rejim autoritarian mungkin menggunakan undang-undang baharu untuk bertindak ke atas penentang mereka.

Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak telah pun menjadi sasaran para pengkritik dalam politik dan pihak media yang telah menyerangnya berhubung dakwaan jumlah besar telah dirampas dari dana 1MDB. Najib dan jawatankuasa dana itu menafikan sebarang salah laku.

Undang-undang yang dicadangkan itu, yang diperkenalkan di parlimen hari ini, telah mengundang kebimbangan bahawa kerajaan cuba memperhebatkan tindakan sebelum pilihan raya, yang mesti diadakan pada Ogos tetapi secara meluas dijangkakan akan berlangsung tidak lama lagi.

Ahli parlimen pembangkang, Charles Santiago berkata rang undang-undang itu adalah ‘senjata berkuasa bagi kerajaan untuk mendiamkan penentang di negara itu’.

“Tiba masanya bagi pilihan raya dan mendiamkan perbincangan tentang 1MDB,” dia memberitahu AFP.

Undang-undang yang dicadangkan itu mengatakan berita palsu menjadi ‘kebimbangan sejagat’ dan perundangan baharu dicadangkan bertujuan melindungi orang awam dan juga memastikan hak kebebasan bersuara. – AFP