M’sia turunkan harga siling penutup mulut

KUALA LUMPUR, 11 OGOS – Kerajaan bersetuju untuk menurunkan harga siling penutup mulut dan hidung tiga lapis kepada RM1 seunit, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata KPDNHEP bersedia untuk menurunkan lagi harga siling penutup mulut dan hidung dari semasa ke semasa bagi mengurangkan beban orang ramai susulan arahan kerajaan mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung di tempat awam yang sesak mulai, 1 Ogos lalu.

“Saya ingin memaklumkan harga tiga lapis penutup mulut dan hidung akan diturunkan lagi kepada RM1 seunit di peringkat runcit. Maknanya 95 sen di peringkat borong. Usaha ini diharapkan membantu mengurangkan beban orang ramai dan ibu bapa menyediakan penutup mulut dan hidung buat anak.

“Kementerian juga bersedia untuk menurunkan lagi harga siling ke paras yang lebih rendah dari semasa ke semasa. Langkah ini akan dilakukan secara berterusan. RM1 satu unit tidak akan berakhir di situ sahaja kerana kita akan tengok dan kaji lagi bersama pemegang taruh,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Nanta menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai rasional kementerian meningkatkan harga maksimum penutup mulut dan hidung tiga lapis daripada 80 sen seunit ke RM1.50 seunit.

Jelasnya, susulan arahan mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung itu, permintaan terhadap penutup mulut dan hidung di pasaran meningkat dan menyebabkan pengeluarannya ditingkatkan sekali gus memberi kesan kepada penurunan harganya. – Bernama