M’sia utara isu kesihatan awam, cabaran COVID-19 di bawah inisiatif BRI

PUTRAJAYA, 23 JUN – Malaysia akan mengetengahkan mengenai kepen-tingan mencapai keseimbangan dalam kesihatan awam serta menangani cabaran COVID-19 di bawah kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijangka menyentuh mengenai perkara itu pada Persidangan Secara Maya Peringkat Tinggi Asia dan Pasifik mengenai Kerjasama BRI hari ini. Beliau menyertai sidang maya itu atas undangan rakan sejawatannya Wang Yi dari China.

Persidangan tahun ini menumpukan usaha memacu kerjasama antarabangsa bagi memastikan agihan vaksin yang lebih adil, terbuka dan tanpa diskriminasi serta mempromosikan ‘pembangunan hijau’ ke arah pencapaian pembangunan mampan serta menyeluruh.

Hishammuddin juga akan mengetengahkan mengenai cabaran pengagihan adil vaksin dan kaedah bagi memantapkan lagi daya tahan negara menghadapi cabaran pandemik di masa hadapan.

Sejajar dengan tema persidangan, Hishammuddin akan turut berkongsi pandangan mengenai ‘pembangunan hijau’ dalam konteks kerjasama BRI serta sasaran mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Pandemik berlarutan telah menyukarkan seluruh dunia, namun Malaysia percaya dengan sumbangan idea inovatif dan strategi hijau, negara-negara di rantau Asia Pasifik akan berupaya bangkit dan bergerak ke arah mencapai pembangunan mapan,” katanya. – Bernama