M’sia, Vietnam sasar dagangan bernilai AS$18 bilion

PUTRAJAYA, 15 NOV – Mesyuarat ke-6 Suruhanjaya Bersama Malaysia dan Republik Sosialis Vietnam yang diadakan hari ini telah menerima pakai Pelan Tindakan 2021–2025, antara lain menetapkan sasaran untuk mencapai jumlah dagangan dua hala sebanyak AS$18 bilion menjelang 2025.

Mesyuarat maya yang dipengerusikan bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatnya Bui Thanh Son turut merintis jalan bagi meningkatkan kerjasama dua hala dan mempergiat semula kerjasama Malaysia-Vietnam pasca COVID-19.

“Ke arah mencapai sasaran (AS$18 bilion menjelang 2025), Malaysia dan Vietnam berharap untuk meningkatkan lagi pelaburan dua hala dan menggalakkan penceburan bidang-bidang baharu oleh entiti perniagaan dengan lebih meluas,” menurut kenyataan Kementerian Luar.

Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan mengenai kerjasama dua hala selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa. – Bernama