KUALA LUMPUR, 26 Jun – Pengeluar gula bertapis, MSM Malaysia Holdings Bhd, merancang mengeksport produknya ke negara Afrika dan China dalam tempoh terdekat ekoran saingan yang semakin meningkat dalam pasaran tempatan.
Pengerusinya Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata syarikat itu yang memegang kepentingan majoriti dalam pasaran domestik, masih merangka strategi sama ada mahu menjadi pengeluar di pasaran asing atau hanya memberi perkhidmatan kepada pasaran terbabit dari Malaysia.
“Kami mendapati permintaan dari negara Afrika semakin meningkat manakala China merupakan pasaran tersendiri memandangkan ia sebelum ini dapat memenuhi permintaan tempatan, namun kini menjadi pengimport bersih gula,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.
Mengenai projek kilang penapisnya di Tanjung Langsat, Johor, Azhar berkata MSM kini dapat peringkat akhir penyiapan dan kilang itu akan sedia untuk pengeluaran pada Julai.
Pengeluaran di kilang penapis itu akan beransur-ansur mencapai kapasiti maksimum satu juta tan metrik dalam tempoh 24 bulan.
“Kilang dibesarkan dan sudah ada pihak yang berminat untuk membeli kepentingan. Kami sedang berunding dengan pihak luar terbabit.
“Cadangan kami adalah untuk memaksimumkan aset dan sumber kami,” katanya dan menambah kilang itu disasarkan memperoleh pulangan modal dalam tempoh enam tahun.
Sebaik operasi kilang penapis stabil, lembaga pengarah MSM akan mengumumkan ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu syarikat itu, kata Azhar.
Syarikat itu kini dalam proses meneliti calon dalaman dan luar.
MSM sebelum ini melantik Mohd Shaffie Said sebagai Pemangku CEO berkuat kuasa 22 Januari susulan keputusan Presiden dan CEO Kumpulan ketika itu, Datuk Mohamad Amri Sahari tidak kembali bekerja. Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada tarikh yang sama, syarikat menafikan dakwaan Mohamad Amri bahawa beliau diberhentikan kerja secara konstruktif. – Bernama

































