Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    MSN Barca tunjuk taring

    MADRID, 23 Jan – Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar (MSN) kesemuanya menemui sasaran apabila Barcelona mengetepikan kehilangan khidmat Sergio Busquets yang cedera untuk kekal dua mata di belakang pendahulu La Liga, Real Madrid dengan kemenangan bergaya 4-0 di Eibar semalam.

    Sevilla memisahkan kedua gergasi Sepanyol itu dengan berada di tangga kedua, hanya satu mata di belakang Madrid, selepas dua kali bangkit dari belakang dalam tujuh gol thriller, 4-3 menentang Osasuna.

    Namun, Real Madrid mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding dua pesaing kejuaraan tersebut.

    Barca yang membuat kunjungan ke Basque Country telah menyaksikan Busquets terpaksa diusung keluar kerana kecederaan ligamen buku lali dalam lapan minit awal perlawanan selepas satu cabaran bahaya oleh Gonzalo Escalante yang terlepas tanpa sebarang hukuman.

    “Berita baik mengenai Sergio Busquets adalah ia tidak begitu serius berbanding yang kami mula-mula sangka,” kata bos Barca, Luis Enrique.

    Pemain tengah Barcelona, Sergio Busquets kelihatan menahan kesakitan ketika diusung keluar padang. – AFP
    Pemain tengah Barcelona, Sergio Busquets kelihatan menahan kesakitan ketika diusung keluar padang. – AFP
    Penyerang Barcelona, Lionel Messi meraikan jaringannya dalam aksi La Liga antara Eibar dan Barcelona di Stadium Ipurua. – AFP
    Penyerang Barcelona, Lionel Messi meraikan jaringannya dalam aksi La Liga antara Eibar dan Barcelona di Stadium Ipurua. – AFP

    Pasukan pelawat pada mulanya tidak senang duduk apabila satu penyelamat Marc-Andre ter Stegen telah berjaya mencegah Adrian Gonzalez memberikan Eibar pendahuluan mengejut di stadium kecil Ipurua.

    Sebaliknya Denis Suarez, yang menggantikan Busquets, mengejutkan pasukan tuan rumah dengan merembat masuk gol pertamanya untuk Barca dari luar petak ketika perlawanan memasuki setengah jam.

    Neymar pula terlepas peluang satu-satu dan cubaan Luis Suarez terkena gawang apabila Barca mensia-siakan beberapa peluang untuk ‘mematikan’ perlawanan sebelum rehat.

    Bagaimanapun, Messi menggandakan pendahuluan mereka hanya selepas enam minit memasuki separuh masa kedua apabila dia menyudahkan jaringan hasil hantaran lintang Luis Suarez bagi golnya yang ke-28 dalam 26 perlawanan musim ini.

    Dan Luis Suarez menyamai jumlah jaringan rakan penyerangnya dalam penjaring terbanyak La Liga dengan 15 gol apabila dia merampas bola Florian Lejeune sebelum menjaringkan gol dari jarak dekat 22 minit sebelum masa sebenar tamat.

    Manakala Neymar yang belum menjaringkan gol dalam permainan terbuka sejak Oktober, telah mengakhiri kemarau itu dengan tidak mensia-siakan hantaran rendah Aleix Vidal di masa kecederaan.

    “Satu keputusan positif bermakna semua berjalan dengan lancar, para pemain mempunyai keyakinan yang tinggi,” tambah Enrique selepas kemenangan keempat berturut-turut.

    “Tetapi kami masih jauh dari tempat yang kami mahukan.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda