MSU diiktiraf QS WUR 2020

SHAH ALAM, 6 MAC – Management and Science University (MSU) telah disenaraikan pada ranking ke-28 dunia dan ke-2 di Malaysia bagi disiplin Hospitaliti dan Pengurusan Liburan dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (WUR) by Subject 2020.

Menurut kenyataan yang diterima, hari ini, Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dato Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, “Pengiktirafan terkini QS tersebut merupakan penanda aras dan menunjukkan universiti berada di landasan yang tepat dengan matlamat dan visi utamanya iaitu melahirkan graduan yang mempunyai personaliti yang seimbang, holistik dan kompeten serta mencapai tahap tertentu di peringkat antarabangsa.”

QS WUR by Subject 2020 dibahagikan kepada lima kumpulan subjek iaitu Arts and Humanities, Engineering & Technology, Life Sciences & Medicine, Natural Sciences dan Social Sciences yang melibatkan 48 disiplin pengajian secara keseluruhannya.

Penilaian QS WUR by Subject 2020 menggunakan empat komponen indikator termasuklah reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi fakulti, serta indeks-H.

Sebelum ini MSU turut diiktiraf di peringkat dalam dan luar negara termasuklah oleh Asia Pacific Institute of Events Management (APIEM) sebagai Centre of Excellence yang pertama di Malaysia serta Gold Award School of Tourism & Hospitality oleh Malaysia Tourism Council (MTC).

Pengiktirafan ini membuktikan kualiti bidang pengurusan hospitaliti di MSU yang diperkasakan dengan hubungan erat bersama lebih 1,700 rakan industri menerusi University Industry Advisory Panel (UIAP).

Kerjasama pintar ini menyaksikan setiap graduan yang dilahirkan memenuhi keperluan semasa industri di mana Kajian Pengesanan Graduan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyaksikan kebolehpasaran graduan MSU berada pada tahap 98.7 peratus dan merupakan antara tertinggi di Malaysia.

Selain itu, kolaborasi dan kerjasama MSU bersama lebih 40 negara di seluruh dunia menyediakan platform terbaik kepada semua pelajar MSU untuk mendapat pendedahan mobiliti antarabangsa melalui Global Mobility Programme (GMP), Global Leadership Programme (GLP) dan Global Internship Programme (GIP)

Secara keseluruhannya, QS WUR 2020 by Subject melibatkan penilaian 13,138 program pengajian yang ditawarkan oleh 1,368 universiti di seluruh dunia.

Kampus Management and Science University (MSU) di Malaysia.