MTBC kaji semula kejohanan Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 MEI – Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) masih belum memutuskan mengenai penganjuran kejohanan boling Terbuka Malaysia, yang dijadualkan semula pada 22 hingga 28 November ini.

Pada awalnya, edisi ke-41 itu dijadualkan pada 26 Mac hingga 4 April di Sunway Mega Lanes, Petaling Jaya,  sebelum ditangguhkan ke November akibat ancaman virus COVID-19.

Bagaimanapun, MTBC masih tidak begitu optimistik untuk menganjurkan kejohanan berkenaan pada tarikh baharu tersebut.

“Kami belum memutuskan sama ada akan meneruskan Terbuka Malaysia atau membatalkannya. Mungkin pada Julai, kami mungkin mengkaji semula keputusan berdasarkan situasi semasa COVID-19, demi keselamatan semua orang,” kata setiausaha agung MTBC, Maradona Chok, kepada Bernama.

Boling Dunia pada bulan lepas mengumumkan penjadualan semula semua acara utama dipinda ke tahun 2021 dan 2022, termasuk Piala Dunia Boling AMF, Piala Dunia Boling Para, Kejohanan Belia dan Remaja Dunia.

Keputusan itu menyaksikan Kejohanan Asia di Hong Kong, yang ditangguhkan dari Julai kepada 13 sehingga 23 November dan Terbuka Malaysia menjadi satu-satunya kejohanan utama yang tinggal dalam kalendar tahun ini.

Sementara itu, Maradona, berkata pemain boling Malaysia tidak mempunyai pilihan lain dengan melakukan latihan di rumah sementara menunggu kebenaran daripada kerajaan untuk membolehkan mereka menjalani latihan seperti biasa, memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dilaksanakan.

Pasukan Malaysia, yang tidak dapat menyertai pertandingan sejak awal Mac akibat penularan COVID-19, menjalani latihan di rumah sejak penguatkuasaan PKP dua bulan lepas. – Bernama