MTEM saran Malaysia wujudkan cukai ‘positif’

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berharap kerajaan memperkenal cukai-cukai yang berunsur baik dan wajar seperti cukai warisan, cukai kekayaan, cukai keuntungan modal dan cukai karbon.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Yazid Othman berkata cukai-cukai tersebut bukan sahaja menambah wang, bahkan mampu menjana perbelanjaan dan pelaburan negara.

“Cukai warisan ialah cukai yang dikenakan ke atas golongan kaya, dan jika (harta) disimpan di bank, ia tidak memberi kesan, dan sewajarnyalah dikenakan cukai,” katanya pada sidang media ‘Kajian Keyakinan Ekonomi Suku ketiga 2018’, di sini hari ini.

Bagi cukai kekayaan, ia merupakan cukai berkaitan kadar kekayaan individu yang layak dicukai, yang akan memberikan motivasi kepada mereka untuk berbelanja ke arah pembangunan negara.

Cukai keuntungan modal pula merupakan cukai yang disarankan ke atas keuntungan pelaburan individu atau syarikat yang ketika ini bebas daripada sebarang jenis cukai.

Ahmad Yazid berkata menurut ahli akademik, Prof Stiglitz pada Khazanah Megatrends, baru-baru ini, cukai karbon memberi insentif kepada mereka yang membantu mengurangkan pelepasan karbon.

Beliau berkata cukai bukanlah merupakan cara untuk mendapat dana secara terus kerana ia turut memberi kesan positif dengan golongan kaya melabur dalam negara dan telah dibuktikan keberkesanannya di beberapa buah negara.

Mengenai kajian keyakinan ekonomi pada suku ketiga 2018 yang dilakukan hasil kerjasama dengan Kajidata Research Sdn Bhd, Ahmad Yazid berkata skor keyakinan ekonomi berada pada tahap 36.6, dan dikategorikan sebagai lemah.

Skor ini menurun sedikit berbanding 39.3 pada suku kedua, katanya.

Kajian itu menunjukkan keyakinan golongan Bumiputera terhadap ekonomi merosot sebanyak 3.4 mata (37.3 mata pada suku ketiga dari 40.7 mata pada suku kedua), manakala keyakinan dalam kalangan golongan Cina hanya turun 1.4 mata (34.2 mata pada suku ketiga daripada 35.6 mata pada suku kedua) dan golongan India pula sebanyak 2.0 mata (39.8 mata pada suku ketiga daripada 41.8 mata pada suku kedua). – Bernama