MTIC semarak sambutan Maulud Nabi

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta pihak-pihak berkuasa di bawahnya tidak ketinggalan mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi tahun 1443H/ 2021M, hari ini.

Majlis secara maya yang dikelolakan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam itu dihadiri oleh Menteri Pengangkutan dan Info-komunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof selaku tetamu kehormat.

Sambutan diserikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Amalan Sunnah Rasulullah dalam Integriti Kerja’ yang disampaikan oleh pengasas bersama Al-Minhaaj Centre dan Da’ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak.

Majlis kemudian diteruskan dengan laungan selawat dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Dihindari daripada Wabak COVID-19.

Antara objektif majlis ialah untuk memperingati dan menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW, di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pegawai-pegawai dan kakitangan MTIC dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bersama warga MTIC pada Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW kelmarin. – Gambar serahan MTIC