Sunday, January 19, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    MTIC terus memacu pendigitalan negara

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JAN – Negara Brunei Darussalam terus memacu transformasi dan pendigitalan di semua sektor utama dengan usaha berterusan oleh pihak berkepentingan untuk membangunkan dua projek infrastruktur utama dalam perjalanan pendigitalan negara iaitu Hab Pembayaran Digital (Digital Payment Hub) dan Identiti Digital (Digital Identity).

    Hab Pembayaran Digital akan menyokong pemindahan pembayaran segera antara pelbagai penyedia pembayaran manakala Digital Identiti merupakan sebuah platform yang memanfaatkan arkitektur blockchain untuk menyediakan identiti self-sovereign yang selamat serta menyediakan perkhidmatan eKYC.

    Perkara itu dijelaskan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof dalam ucapannya di Progresif Enterprise Showcase yang berlangsung di Dewan Munawwarah, Setia Point, hari ini.

    Bergerak ke hadapan, MTIC akan menumpukan kepada membangunkan rancangan fasa pendigitalan negara yang seterusnya.

    Dengan memanfaatkan infrastruktur yang telah dilaksanakan, jelas Ir Haji Mohammad Nazri, tumpuan ke hadapan mereka adalah untuk terus memacu transformasi praktikal dunia sebenar yang dapat dirasakan dan dimanfaatkan oleh semua di serata sektor termasuk Mobiliti Pintar (Smart Mobility), Kehidupan Pintar (Smart Living) dan Alam Sekitar Pintar (Smart Environment).

    Ia merangkumi penerokaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) yang telah berkembang dengan pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Beliau menerangkan sebagai kuasa pemacu transformasi digital masa kini, platform dan peralatan AI mempunyai halangan kemasukan yang rendah di mana daripada segi akses, ia hanya memerlukan talian internet untuk pengguna.

    Tahap akses yang mudah itu telah mempercepatkan penerimaan pakai AI berbanding dengan teknologi transformasi digital terdahulu, tambahnya lagi.

    Namun begitu, dalam mengguna pakai teknologi transformatif, tegasnya, keperluan kritikal sekuriti siber perlu ditangani dan ke arah itu, adalah amat penting untuk terus membangunkan urus tadbir dan pengawalseliaan keseluruhan untuk memastikan bahawa semua pihak akan terus bertindak dalam persekitaran yang dipercayai, terjamin dan selamat.

    Selaras dengan itu, Pihak Berkuasa bagi Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), sedang merangka Garis panduan Etika dan Urustadbir AI menerusi kumpulan kerja kolaboratif merangkumi pihak berkepentingan kerajaan, industri dan akademia.

    Di samping itu, Undang-undang Perlindungan Data Peribadi yang dinanti-nantikan, pada masa ini berada di peringkat akhir dan akan mengukuhkan lagi rangka kerja undang-undang dalam bidang berkenaan.

    Tidak kurang pentingnya, tegas Ir Haji Mohammad Nazri, adalah kesedaran dan pendidikan berterusan bagi semua pihak berkepentingan dalam ekosistem teknologi di mana ia termasuk memberikan kesedaran kepada orang ramai, pengguna, klien dan vendor akan kemungkinan bahaya apabila menggunakan teknologi berkenaan.

    Ir Haji Mohammad Nazri semasa menyampaikan ucapan di Progresif Enterprise Showcase.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda