Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Muafiq 23 tumpu isu kekeluargaan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Sebanyak 22 kertas kajian dalam pelbagai tajuk berkaitan dengan isu kekeluargaan diketengahkan dalam Majlis Muktamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah 2023 (Muafiq 23) yang berlangsung dua hari bermula hari ini di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

    Persidangan anjuran KUPU SB dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) itu telah dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang selaku wakil peribadi Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama.

    Lebih 200 orang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kementerian-kementerian kerajaan dan institusi-institusi pengajian tinggi menghadiri persidangan berkenaan.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan) di KKBS, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, dan Raes KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.

    Tema Muafiq 23 adalah ‘Membina Keluarga Bahagia Bertauladankan Rasulullah SAW’ dengan sub-temanya termasuk Pendidikan Keluarga Islam, Akhlak, Tafsir, Hadith, Aqidah, Teladan Rasulullah SAW, Perundangan Islam dan lain-lain lagi.

    Haji Mohd Serudin menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Muafiq 23 pada majlis tersebut.
    Lebih kurang 200 orang pegawai dan kakitangan dari beberapa buah kerajaan dan institusi pengajian tinggi hadir di majlis berkenaan.

    Pengarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah KUPU SB, Dr Haji Sham bin Haji Amin dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi, menjelaskan, antara objektif acara itu adalah bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menekankan kepentingan untuk membentuk keluarga yang bahagia lagi sempurna.

    Seterusnya, mempraktikkan Tarbiyah Islam dalam kekeluargaan dengan mencontohi cara Rasulullah SAW, memperkasa pendidikan kekeluargaan Islam dalam kalangan umat Islam masa kini.

    Di samping itu, tambah beliau, ia mengenal pasti isu-isu dan cabaran dalam kehidupan berkeluarga dan mencapai penyelesaian dalam jangka pendek dan jangka panjang ke arah kehidupan berkeluarga yang penuh harmoni, bahagia dan sempurna.

    Ia juga diharapkan dapat memberikan pendedahan mengenai kepentingan nilai-nilai keagamaan berserta kaedah penerapannya di dalam kesempurnaan kehidupan sebuah keluarga Muslim.

    Sementara itu, Haji Mohd Serudin dalam ucapannya pula menekankan bahawa agama Islam telah memberikan perhatian besar terhadap kehidupan keluarga dengan meletakkan kaedah-kaedah bagi memelihara kehidupan keluarga daripada kehancuran dan ketidakharmonian.

    Ini kerana daripada institusi keluarga itu, kita dapat membina dan membangun generasi, dari keluarga tersebut masing-masing memiliki rasa tanggungjawab untuk melakukan tugas sebagai anggota keluarga dan juga kepatuhan serta kecintaan kepada hidup beragama dapat dibina dan dibangunkan.

    Oleh itu, tegas beliau, ia merupakan kewajipan semua untuk memberi pendidikan kepada seluruh anggota keluarga, kewajipan mengajar dan mendidik tentang agama, melindungi keluarga daripada sebarang gangguan, ancaman, pengaruh negatif dan kekerasan, memberi nafkah melalui usaha dan penghasilan serta mewujudkan suasana keluarga yang nyaman, saling menghargai, menghormati, menghibur dan penuh kasih sayang.

    Selepas perasmian persidangan oleh tetamu kehormat, majlis dilanjutkan dengan pembentangan kertas utama satu oleh Profesor Madya Dr Sharifah Hayaati binti Syed Ismail dari Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dengan tajuk ‘Mengurus konflik keluarga dan kerja dalam alaf baru berpandukan pendekatan dakwah’.

    Manakala itu, kertas utama dua dibentangkan oleh Dr Haji Adanan dengan tajuk ‘Pendidikan dan Kurikulum Keluarga sebagai Madrasah Utama’.

    Pada sesi petang, muktamar menyaksikan sesi pembentangan selari iaitu lapan kertas kajian.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...