Mualaf disaran ikuti skim lanjutan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Mualaf) dalam rangka untuk mensifarkan para mualaf yang belum mengikuti kursus Skim Lanjutan I dan Skim Lanjutan II dengan melaksanakan kursus berkenaan di unit-unit pejabat dakwah Daerah Tutong, Belait dan Temburong bermula 2019.

Sehubungan itu, semua mualaf yang belum mengikuti Kursus Skim Lanjutan I dan II, diseru supaya dapat merebut peluang yang ada dan mendaftarkan diri bagi mengikuti kursus di daerah masing-masing.

Seruan itu dibuat oleh Penolong Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar dalam ucapannya pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Skim Bimbingan Lanjutan II bagi Mualaf ke-33 dan ke-34 yang berlangsung di Dewan Persidangan, PDI, hari ini.

“Saya ini memberi sepatah dua kata nasihat kepada para peserta supaya apabila berada di luar nanti akan terus istiqamah menjalani kehidupan seperti Muslim yang lain.”

Tambahnya lagi, “Dapat membimbing keluarga, anak-anak mahupun masyarakat sekeliling dengan calak Islam.”

Awang Abdul Aziz menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta kursus.
Awang Abdul Aziz ketika menghadiri majlis penutup dan penyampaian sijil Kursus Bimbingan Lanjutan II Muallaf Siri ke-33 dan ke-34 yang berlangsung di Dewan Persidangan, Pusat Dakwah Islamiah, kelmarin.

Terdahulu, Awang Abdul Aziz menyatakan bahawa kursus itu dilaksanakan supaya para peserta dapat meningkatkan lagi pengetahuan dan kefahaman agama Islam serta dapat mengukuhkan lagi penghayatan beragama untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

Kursus itu, jelasnya dilaksanakan bermula 26 Ogos hingga 8 September yang berlangsung selama 14 hari berturut-turut dan kali ini, kursus yang pada kebiasaannya berasrama telah ditiadakan bagi mematuhi langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 dan mematuhi saranan Kementerian Kesihatan.

Seramai 18 orang telah mengikuti Kursus Bimbingan Lanjutan II Siri ke-33 (Lelaki) dan 24 orang bagi Kursus Bimbingan Lanjutan II Siri ke-34 (Perempuan) di mana antara pengisian yang dikongsi dalam kursus berkenaan ialah fiqh zakat, dakwah, sejarah Islam, fiqh muamalat, korban dan akikah, akidah, amali, Muqadam dan praktikal menyembelih binatang.

Pada majlis berkenaan, Awang Abdul Aziz menyempurnakan penyampaian sijil-sijil penyertaan, hadiah peserta terbaik dan hadiah peraduan aktiviti sampingan kepada peserta-peserta skim bimbingan.

PDI turut memaklumkan kepada para mualaf yang belum mengikuti kursus skim anjuran PDI, mereka digalakkan untuk mendapatkan borang pendaftaran di PDI atau pejabat dakwah daerah masing-masing.