Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muara, Sungai Brunei semakin pesat berkembang

    Oleh Musafir

     

    KETIKA menelusuri kawasan muara Sungai Brunei, ternyata kawasan ini sedang pesat berkembang dengan pelbagai aktiviti perdagangan dan perindustrian.

    Di pelabuhan air dalam Muara, pintu utama perdagangan negara dengan dunia luar, pelbagai barangan dagangan dipunggah melalui pelabuhan ini setiap hari dan sejak akhir-akhir ini jumlah kargo yang dikendalikan di pelabuhan ini semakin meningkat selaras dengan pembangunan negara yang semakin pesat dan penduduk yang semakin bertambah. Pelabuhan ini mula beroperasi pada tahun 1972 setelah dipindahkan dari lokasi asalnya di kawasan Dermaga Diraja di Bandar Seri Begawan.

    Hari ini kapal-kapal kargo dan kontena dagangan membuat persinggahan di pelabuhan ini dan di Terminal Kontena Muara yang terletak bersebelahan. Antara barangan yang melalui pelabuhan dan terminal kontena ini termasuklah bekalan beras dan gula, produk-produk minyak, bahan-bahan binaan, barang-barang makanan, jentera berat dan kenderaan.

    Pusat persinggahan

    Kapal-kapal penumpang yang membawa pelancong dari seluruh pelosok dunia juga membuat persinggahan di pelabuhan ini dari masa ke semasa di mana para pelancong akan menghabiskan masa beberapa jam melawat tempat-tempat menarik sebelum meneruskan pelayaran mereka ke destinasi lain. Selain itu, sebuah kapal pengangkut raksasa yang sering membuat persinggahan di pelabuhan ini ialah kapal pengangkut kenderaan, Positive Passion yang membawa kenderaan yang diimport terutama dari negara-negara Jepun dan Korea.

    Rumah terapung bagi menempatkan pekerja yang mengawasi ternakan ikan dalam sangkar.
    Kapal pengangkut kenderaan, Positive Passion berlabuh di Pelabuhan Muara.
    Kerja-kerja disekitar Pulau Muara Besar.

    Terminal Feri Serasa juga ditempatkan tidak jauh bagi perjalanan antara Labuan dan Brunei. Sebelum berpindah ke terminal ini, feri-feri yang berulang alik dari Brunei dan Labuan juga pernah menggunakan Dermaga Diraja di pusat Bandar Seri Begawan. Di sebelah terminal ini pula, terletak kilang memproses simen yang terbesar di negara ini yang mempunyai jetinya sendiri bagi mengangkut simen dan bahan-bahan mentah lain yang digunakan oleh kilang tersebut. Sebuah kilang yang baru dibina berhampiran ialah kilang memproses produk marjerin yang akan beroperasi tidak lama lagi.

    Satu lagi aktiviti pembinaan besar sedang dilaksanakan di kawasan ini bagi menempatkan sebuah loji petrokimia dan penapisan minyak di Pulau Muara Besar. Kerja-kerja menembok tanah, penambakan, pembinaan jeti dan kerja mendalamkan kawasan sungai sedang rancak dijalankan di samping pembinaan loji penapisan minyak di atas pulau tersebut yang dijangka akan siap dalam beberapa tahun yang akan datang.

    Sangkar ikan luar pantai yang berbentuk bulat dan empat segi.
    Pulau Pilong-Pilongan hanyalah batu-batu raksaksa yang seakan-akan terapung di permukaan laut.
    Pemandangan kilang simen dan bangunan terminal feri Serasa.

    Ekonomi semakin rancak

    Aktiviti perekonomian di kawasan muara Sungai Brunei ini kini telah menjangkau ke kawasan luar pantai sehingga ke Pulau Pilong-Pilongan. Kawasan sekitar pulau yang bersejarah ini telah dikenal pasti sesuai bagi aktiviti penternakan ikan-ikan dalam sangkar secara komersil. Kini sudah terdapat beberapa buah sangkar terapung diusahakan bagi menternak berbagai jenis ikan dalam sangkar bagi keperluan tempatan dan eksport.

    Sangkar-sangkar yang dibina ini mempunyai struktur yang kukuh yang mampu menahan ombak besar yang melanda kawasan berkenaan. Sebuah rumah terapung juga dibina bagi menempatkan pekerja-pekerja syarikat tersebut bagi mengawasi sangkar-sangkar ikan ini sepenuh masa.

    Selain menjadi kawasan ternakan ikan dalam sangkar, persekitaran Pulau Pilong-Pilongan juga merupakan kawasan menyelam yang digemari oleh para penyelam dalam dan luar negara yang ingin melihat keindahan batu-batu karang dan hidupan laut yang masih bersih dan tidak dicemari.

    Kawasan perairan muara Sungai Brunei akan terus membangun dengan pesat selaras dengan hasrat negara untuk meningkatkan lagi aktiviti perekonomian dengan memanfaatkan kedudukan kawasan Muara yang berdepan dengan laut terbuka dan laluan utama perdagangan antarabangsa yang semakin sibuk. Jarak dengan kemudahan pelabuhan juga menjadi tarikan bagi industri-industri yang berasaskan eksport kerana ini akan memudahkan bagi pengangkutan masuk bahan-bahan mentah dan juga produk-produk yang mereka hasilkan untuk dieksport.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda