Friday, December 6, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muchova, bukan Sabalenka bakal berdepan Swiatek

    PARIS, 9 JUN – Juara bertahan dan pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek mara ke final Terbuka Perancis kelmarin selepas Karolina Muchova yang tidak dikenali menyelamatkan mata penamat perlawanan sebelum menewaskan pilihan kedua, Aryna Sabalenka.

    Swiatek menewaskan pemain Brazil, Beatriz Haddad Maia 6-2, 7-6 (9/7) dan akan menentang pemain ranking ke-43 Muchova dari Republik Czech esok ketika dia menyasarkan gelaran Roland Garros ketiga dalam tempoh empat tahun.

    Pemain dari Poland berusia 22 tahun itu, yang memperbaiki rekodnya di Paris kepada 27-2, berharap menjadi wanita pertama yang berjaya mempertahankan gelaran itu sejak Justine Henin pada 2007. Dia juga merupakan wanita termuda mara ke tiga final Terbuka Perancis sejak Monica Seles pada awal 1990an.

    “Ia benar-benar menakjubkan. Sejujurnya, sukar untuk bermain dalam satu kejohanan yang begitu panjang dan saya sangat gembira saya dapat bermain secara konsisten dan setiap tahun mendapat keputusan yang baik di sini, dan saya cukup teruja untuk hari Sabtu,” kata Swiatek.

    Haddad Maia, wanita Brazil pertama yang mara ke separuh akhir Grand Slam sejak juara kejohanan utama tujuh kali Maria Bueno pada 1968, berjaya mematahkan servis Swiatek dalam perlawanan pembukaan tetapi pilihan utama itu segera mengambil alih permainan.

    Swiatek memenangi lima daripada enam perlawanan seterusnya sebelum menggagalkan servis Haddad Maia buat kali ketiga untuk menamatkan set itu. Haddad Maia mendahului 3-1 pada set kedua tetapi Swiatek memenangi tiga perlawanan seterusnya.

    Dia menangkis tiga break point pada 4-4 dan menyelamatkan satu set point dalam tie-break sebelum menghentikan kemaraan pemain kidal berusia 27 tahun itu yang tidak pernah melepasi pusingan kedua Grand Slam sebelum Terbuka Perancis ini. “Ia bukan mudah, dia seorang pejuang dan dia menunjukkannya,” kata Swiatek. “Saya tahu saya perlu bersedia untuk setiap perlawanan dan momentum boleh berubah dengan cepat dan itulah sebabnya saya bermain dengan begitu baik dalam perlawanan tie-breaker.” – AFP

    Muchova meraikan kemenangannya pada perlawanan separuh akhir kejohanan tenis Terbuka Perancis menentang Sabalenka di Stadium Roland Garros, Paris, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda