Mudahkan proses pengurusan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Dalam era serba digital dengan dunia sedang memasuki revolusi perindustrian keempat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) terus berusaha memudah cara proses pengurusan dengan menambah beberapa perkhidmatan dalam talian.

Inisiatif-inisiatif berkenaan juga dapat mengukuhkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di mana antara inisiatif yang dilaksanakan ialah pembayaran perkhidmatan menggunakan kad debit dan kredit di Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) bagi meningkatkan kualiti kerja serta memberi kemudahan orang ramai untuk membuat urusan di jabatan itu.

JIPK dan Jabatan Buruh juga sedang giat melaksanakan satu sistem dengan dukungan pihak Pusat Kebangsaan e-Kerajaan (EGNC) yang diharap akan dapat meningkatkan tahap perkhidmatan kepada orang ramai dalam pelbagai perkhidmatan seperti pendaftaran kad pengenalan, pasport, pendaftaran kelahiran, kematian dan penggunaan biometrik di pos-pos kawalan.

Sistem itu juga akan memberi kaedah pembaharuan dalam proses dan kebenaran mengeluarkan visa dan pas kerja serta perkara-perkara yang berkaitan dengan warganegara asing yang bekerja di Brunei dengan lebih efisien dan teratur.

“Antara impak utama adalah memberikan peluang untuk orang ramai menghadapkan berbagai-bagai permohonan secara online dan mengurangkan tempoh proses pemberian kelulusan.”

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri (tengah) menyampaikan ucapan semasa Sesi Muzakarah KHEDN bersama ahli-ahli MMN yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Aras 4, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Ber-hormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dalam ucapan alu-aluannya semasa Sesi Muzakarah KHEDN bersama ahli-ahli Majlis Me-syuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Aras 4, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.

Beliau menyatakan bahawa salah satu faedah penting yang akan diperoleh dengan sistem berkenaan ialah mengukuhkan lagi aspek sekuriti di pos-pos kawalan di negara ini dengan penggunaan biometrik di mana sistem itu dijangka akan mula digunakan pada Julai nanti.

Di samping itu, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa kementeriannya juga dalam proses melaksanakan sistem e-voting yang mana sistem aplikasi itu nanti dapat digunakan untuk mengundi calon-calon penghulu mukim dan ketua kampung.

Usaha itu dapat membantu mempercepatkan proses pengisian jawatan penghulu mukim dan ketua kampung dengan memanfaatkan kaedah sistem teknologi moden secara kos efektif.

KHEDN juga telah melancarkan laman sesawang Satu Kampung Satu Produk (1K1P) yang akan dapat membantu pengusaha-pengusaha 1K1P memperkenalkan produk mereka kepada orang ramai serta membantu meningkatkan pemasaran produk-produk
mereka.

Di bawah usaha 1K1P, jelas Yang Berhormat Pehin, pihaknya telah menjalin kerjasama dengan Syarikat Ghanim bagi mempromosikan lima produk untuk diangkat bagi menembusi pasaran luar negara iaitu kerepek pisang madu, kuih tart nanas, kerepek ubi, kuih jala dan teh herba.

Dalam usaha untuk menukar sikap masyarakat umum menjadi rakyat yang patung kepada undang-undang, KHEDN juga sedang dalam proses membuat pindaan kepada beberapa akta iaitu Akta Kesalahan Kecil Penggal 30 dalam menangani isu pembuangan sampah dengan mengenakan denda yang lebih berat dan Fire Safety Order 2016 (mengawal keselamatan kebakaran ke atas premis-premis perniagaan) di mana dengan adanya perubahan itu, ia akan mengenakan kompaun ke atas premis perniagaan yang tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa menurut statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) bagi Januari hingga November 2019, daripada 966 pemeriksaan ke atas premis bangunan, sebanyak 683 kesalahan yang boleh dikenakan kompaun.

“Walau bagaimanapun, tujuan ianya akan diperkenalkan ialah sebagai deterrent kepada berlakunya ketidakpatuhan (non-compliant) kepada keselamatan kebakaran (fire safety), dan yang paling penting adalah untuk memastikan setiap individu yang berkunjung ke premis-premis bangunan di negara ini khasnya premis-premis swasta akan sentiasa terpelihara dari aspek keselamatan kebakaran (fire safety),” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

Mengulas mengenai dengan institusi penghulu dan ketua kampung, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi pelaksanaan
rancangan re-zoning bagi kawasan Kampong Ayer dan kawasan darat di mana projek itu akan meningkatkan keberkesanan pengurusan dan pentadbiran mukim dan kampung dengan mengambil kira akan keperluan dan perkembangan semasa.

Ia juga mengimbangkan tugas dan tanggungjawab penghulu mukim dan ketua kampung dalam mengurus tadbir mukim dan kampung dalam jumlah keramaian penduduk yang bersesuaian dan boleh diurus.

Projek re-zoning itu melibatkan pengurangan jawatan penghulu mukim daripada 39 jawatan kepada 31 jawatan iaitu pengurangan lapan jawatan dan tambahan jumlah ketua kampung daripada 185 jawatan kepada 191 jawatan.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Pehin turut menyentuh mengenai program Rakan Seliaan yang dikendalikan oleh Jabatan Penjara bagi membantu bekas-bekas pesalah kepada pengintegrasian ke dalam masyarakat.

Ke arah itu, Jabatan Penjara akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta pihak swasta bagi sama-sama mendukung program rehabilitasi seperti penyediaan pekerjaan dan dorongan untuk mereka bergiat dalam aktiviti perusahaan mikro dan kecil-kecilan.

Manakala itu, bagi meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta penduduk negara, pelbagai program dilaksanakan menerusi program pendekatan masyarakat oleh JBP dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) bagi melahirkan masyarakat yang sentiasa siap siaga.

Menerusi pendekatan itu, dedah Yang Berhormat Pehin, sebanyak 59 kes kejadian kebakaran pada 2019 telah ditangani oleh orang awam sebelum kehadiran pihak bomba dan penyelamat ke tempat kejadian.