LONDON, 3 OKT – Pasukan Chelsea yang kemarau gol akhirnya mendapatkan kelebihan serangan mereka semalam dengan mencipta dua gol dalam masa 82 saat untuk melakar kemenangan 2-0 menentang Fulham, sekali gus meringankan beban pengurus baharu, Mauricio Pochettino, yang menghadapi tekanan besar.
Pasukan Mauricio Pochettino yang dibebani masalah kecederaan beberapa pemain itu berkunjung ke stadium pasukan jirannya hanya dua mata di atas zon penyingkiran dan hanya mencatatkan lima gol sepanjang musim ini.
Peluang awal yang disia-siakan pada awal perlawanan menunjukkan kelemahan yang tidak asing, namun pemain sayap dari Ukraine, Mykhailo Mudryk, akhirnya berjaya menjaringkan gol pertamanya untuk Chelsea pada minit ke-18, manakala Armando Broja menggandakan jaringan selepas itu.
Kemenangan itu mengangkat Chelsea ke kelompok tengah kedudukan dan melegakan tekanan ke atas Pochettino, pengurus baharu yang sedang menghadapi kesukaran ketika pasukannya gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan Liga Perdana sebelum ini.
Bekas pengurus Tottenham Hotspur dan Paris Saint-Germain itu telah merayu kepada pasukannya untuk bertindak aggresif di hadapan gawang dan gol pantas pada separuh masa pertama memberi ketenangan kepada Pochettino.
“Penting bagi kami untuk membangunkan keyakinan dan kepercayaan diri,” kata Pochettino kepada Sky Sports.
“Persembahan pasukan sangat memuaskan, saya gembira dengan pemain dan akhirnya kami mendapat apa yang patut kami terima.”
Chelsea memulakan perlawanan dengan cemerlang di Craven Cottage, namun kegagalan memanfaatkan peluang awal mencerminkan kelemahan pasukan. Penyerang Albania, Broja, yang membuat penampilan pertamanya sejak November 2022, menghantar bola tinggi dari posisi luar, manakala Mudryk yang aktif juga membazirkan peluang. – AFP