Mueller bidas keputusan Loew

BERLIN, 7 Mac – Thomas Mueller hari ini berkata bahawa dia ‘marah’ terhadap keputusan ‘tidak sesuai’ Joachim Loew untuk mengetepikannya dan rakan sepasukannya di Bayern Munich, Jerome Boateng dan Mats Hummels daripada skuad Jerman.

Jurulatih pasukan kebangsaan, Loew terbang ke Munich semalam bagi memberitahu Mueller, 29, Boateng dan Hummels, kedua-duanya berusia 30 tahun, bahawa kerjaya antarabangsa mereka sudah berakhir.

Trio pemenang Piala Dunia itu mempunyai 246 kemunculan antarabangsa antara mereka.

“Lebih banyak saya memikirkannya, bagaimana cara ia dilakukan, menjadikan saya marah,” kata Mueller dalam satu video dua minit di rangkaian sosialnya.

“Keputusan mengejut jurulatih jelasnya membuatkan saya keliru. Seorang jurulatih perlu membuat sesuatu keputusan, tiada masalah, saya tidak mempunyai masalah mengenainya.

Gambar fail yang diambil pada 23 Mac 2018 menunjukkan Thomas Mueller (dua kiri) bersama rakan sepasukannya ketika beraksi bersama pasukan Jerman. – AFP

“Tetapi apa yang saya tidak faham adalah ciri-ciri keputusan yang dibuat.

“Mats, Jerome dan saya masih mampu bermain di tahap tertinggi.

“Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) dan presidennya (Reinhard Grindel), pada pendapat saya tidak sesuai dan menunjukkan kurangnya pertimbangan.”

Awal kelmarin, ketua Bayern, Karl-Heinz Rummenigge berkata dia ‘jengkel’ ketika Loew mengeluarkan kenyataan mengenai pengguguran trio itu, seminggu sebelum pertembungan penting Liga Juara-Juara menentang Liverpool dan di pertengahan perebutan gelaran Bundesliga.

“Kami menganggap masa dan keadaan pengumuman, kedua-duanya kepada pemain dan orang ramai sebagai meragukan,” tulis Rummenigge dalam satu kenyataan bersama dengan pengarah sukan, Hasan Salihamidzic.

“Perlawanan terakhir antarabangsa bagi pasukan Jerman berlangsung pada 19 November 2018, tiga bulan setengah yang lalu.” – AFP