BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, semalam, telah menerima kunjungan perpisahan daripada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Tuan Yang Terutama Datuk Ghulam Jelani bin Khanizaman yang akan menamatkan perkhidmatannya di negara ini.
Kunjungan tersebut berlangsung di pejabat Yang Berhormat Pehin di DarulIfta Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan.
Tuan Yang Terutama telah menyembahkan surat tauliah pelantikannya kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 23 Mac 2016.
Tuan Yang Terutama juga pernah mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Berhormat Pehin pada 2 November 2016 yang antara lain bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan yang sedia ada di samping bertukar-tukar pandangan dan maklumat dalam perkara-perkara yang menjadi kepentingan bersama.


































