Oleh Fadhil Yunus
CHIANG MAI, THAILAND, 18 OGOS – Atlet Negara Brunei Darussalam, Muhammad Adid bin Abdul Kadir mengharumkan nama negara selepas memenangi pingat emas dalam acara Larian Pecut 5 kilometer di Spartan Race Thailand 2022 yang berlangsung di Huay Tung Tao Reservoir, Daerah Mae Rim, Chiang Mai, baru-baru ini.
Beliau merupakan wakil sulung negara di Kejohanan Dunia Spartan di Lake Tahoe, Amerika Syarikat (AS) dan turut merangkul pingat perak dalam acara Perlumbaan Super 10 kilometer di Liga Kedua Siri Rantau Asia Tenggara.
Muhammad Adid ketika ini menduduki ranking ketiga di belakang pesaing dari Malaysia dan Filipina dalam saingan rantau Asia Tenggara dengan berbaki dua pusingan. Dua perlumbaan seterusnya akan diadakan di Filipina pada September dan Vietnam pada Oktober. Kedudukan tiga teratas dalam siri Asia Tenggara akan layak secara terus ke Kejohanan Dunia di AS.
Semasa ditemu bual oleh wartawan, Muhammad Adid berkata, “Saya rasa bersyukur dan bertuah kerana segala kerja keras, keazaman dan pengorbanan membuahkan hasil. Setiap kejayaan memerlukan usaha keras.
“Ia adalah impian saya untuk menaiki podium dan meraih pingat emas, dan saya ingin mengibarkan bendera Brunei di atas podium.

“Semasa Hari Belia Kebangsaan baru-baru ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah meskipun tanpa memenangi sebarang pingat, Brunei Darussalam sentiasa membawa baik namanya, dan menekankan pentingnya untuk mengekalkan imej yang baik untuk negara ‘melalui perbuatan dan aktiviti kita’,” tambahnya.
Selain itu, beliau turut mengongsikan bahawa petikan titah itu telah memberikan semangat kepada dirinya untuk mengharumkan nama negara.
Siri cabaran itu menyaksikan para peserta perlu berlari di laluan berlumpur dan berbukit selain daripada perlu menempuh pelbagai halangan sepanjang cabaran.
Muhammad Adid turut mengongsikan bahawa dia merasa keletihan kerana mendaki bukit semasa melakukan cabaran namun ia tidak menghalang dirinya daripada menamatkan perlumbaan.
Peserta berusia 34 tahun itu turut mengongsikan latihan rutin sebelum menyertai kejohanan dan sebelum ini pernah menamatkan cabaran di Sarawak pada Jun lalu.
Beliau berkata, “Persembahan saya di Sarawak Race tidak memuaskan meskipun berada di tempat ketiga.”
Cabaran di Sarawak menandakan aksi kompetitif pertamanya terutama dalam cabaran berhalangan selepas berehat akibat penularan COVID.
“Namun itu bukan satu alasan. Tempoh enam minggu untuk perlumbaan seterusnya di Thailand dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengadakan larian dan sesi di gim.”
Beliau turut menyasarkan untuk mengambil bahagian dalam Liga Ketiga Siri Asia Tenggara di Filipina.
Kejohanan tersebut menarik kira-kira 3,000 orang peserta dari 30 buah negara dan dianjurkan oleh Biro Konvensyen dan Pameran Thailand (TCEB) dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT).