Muhammad Hazimi Al Hakim juara Beyblade Burst GT

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Lebih 200 orang peserta, kanak-kanak sekecil dua tahun dan orang dewasa, dari dalam dan luar negara menyahut cabaran Pertandingan Beyblade Burst GT yang berlangsung di Pusat Beli-belah One City, hari ini.

Muncul juara pertandingan ialah Awang Muhammad Hazimi Al Hakim bin Hairul Azmin diikuti oleh Haji Abdul Harris bin Haji Simpol di tempat kedua, Awang Aizul Shazwam bin Shamsul Rizal di tempat ketiga dan Awang Abdul Yazid bin Haji Jamaludin di tempat keempat.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Brunei Beyblade Community (2BC) dan Game Master (GM) itu antara lain bertujuan untuk memupuk minat terhadap permainan gasing moden yang dinamakan ‘Beyblade’ dalam kalangan orang ramai menerusi aktiviti sukan dan kebudayaan.

Di samping itu, persaingan sihat berkenaan dapat membina kepercayaan diri dan meningkatkan daya saing dalam kalangan peserta.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Presiden 2BC, Awangku Mohd Afif Izzuddin bin Pengiran Haji Ismail dan Presiden GM, Awang Mohd Nazrie Saie.

Antara pemenang bergambar bersama presiden 2BC dan GM.