Saturday, December 2, 2023
22.9 C
Brunei

    -

    Muhammad Zul-Hafiz, Dk Fauziah Nadhirah johan musabaqah

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Awang Muhammad Zul-Hafiz bin Awang Tengah dan Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri masing-masing diumumkan sebagai johan qari dan qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1443 Hijrah/2022 Masihi pada majlis pengumuman dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat mengurniakan hadiah kepada para pemenang pada majlis itu.

    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi jawatankuasa tertinggi musabaqah; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan sebelum diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung berswafoto bersama hadirin di penghujung majlis. – Gambar oleh Infofoto
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan bergambar bersama Muhammad Naja Hudia Afifurrahman Agusfian.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan beramah mesra bersama Nur Syahwa Syakhila Muhammad Sabhan yang diundang untuk membuat persembahan pada musabaqah berkenaan. Berangkat sama DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan berangkat ke majlis tersebut.
    ATAS & BAWAH: Persembahan daripada johan qari dan qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1443 Hijrah/2022 Masihi.

    Majlis turut menyaksikan persembahan khas daripada Al-Hafiz dan Al-Hafizah istimewa yang dijemput khas dari Republik Indonesia.

    Yang Berhormat Pehin an-tara lain menyentuh mengenai tema musabaqah tahun ini iaitu ‘Bertemankan Al-Quran Sepan-jang Zaman’ yang sembah beliau tetap konsisten menjadi sebahagian wadah untuk kita sentiasa berdamping dengan kitab suci Al-Quran.

    “Berdamping dengan Al-Quran itu membuka peluang untuk beroleh keberkatan duniawi dan ukhrawi, iaitu berkat membacanya dan berkat mendengar ayat-ayatnya dibacakan.

    Seterusnya berkat mengambil ingatan, pengajaran daripada kandungannya.

    “Mengambil pengajaran daripada Al-Quran itu adalah sangat mustahak.

    “Allah SWT sendiri menyebutnya dan bahkan sampai empat kali dalam satu surah yang sama, iaitu Surah Al-Qamar ayat 17, 22, 32 dan 40 dengan ungkapan yang sama,” sembah beliau.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan mengurniakan titah sebelum pengumuman keputusan pertandingan oleh Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh selaku pengerusi jemaah hakim.

    Bagi kategori qari, naib johan telah disandang oleh Awang Mohammad bin Ali dengan Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya di tempat ketiga.

    Manakala itu, naib johan bagi kategori qariah ialah Hajah Nurfaezah binti Haji Emran dan Dayang Siti Zahrina binti Haji Abdul Wahab di tempat ketiga.

    Majlis diikuti dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh johan qari dan qariah.

    Kemudian, majlis juga diserikan dengan persembahan khas daripada Al-Hafiz dan Al-Hafizah istimewa yang dijemput khas dari Republik Indonesia iaitu Muhammad Naja Hudia Afifurrahman Agusfian yang menghidap lumpuh otak (cerebral palsy) sejak lahir; dan Nur Syahwa Syakhila Muhammad Sabhan yang mengalami gangguan pada penglihatan (tunanetra) sejak lahir.

    Sejurus selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan hadiah-hadiah dan cenderamata kepada johan qari dan qariah, para peserta, hakim-hakim serta Al-Hafiz dan Al-Hafizah jemputan.

    Johan membawa pulang wang tunai $7,000, piala pusingan, piala iringan, sijil penyertaan, pakej menunaikan fardu haji, bagi johan kali Pertama, Akaun Tekad Haji berjumlah $1,500 sumbangan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITH) dan Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB), serta sebidang kain tenunan Brunei sumbangan Syarikat Little Ummi.

    Naib johan pula menerima wang tunai $5,000, piala iringan, sijil penyertaan dan akaun Tekad Haji berjumlah $1,000, manakala itu, pemenang tempat ketiga pula menerima wang tunai $3,000, piala iringan, sijil penyertaan, akaun Tekad Haji berjumlah $700.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    New Zealand larang guna telefon bimbit di sekolah

    WELLINGTON, 1 DIS – Telefon bimbit akan dilarang di sekolah-sekolah di seluruh New Zealand, kata Perdana Menteri konservatif Christopher Luxon hari ini, ketika kerajaannya...