Oleh Fadhil Yunus
BELAIT, 19 JUN – Muhd Nazid bin Haji Nudin dari Kelab Boling Padang Syarikat Penerbangan Diraja Brunei muncul johan bagi Kejohanan Terbuka Perseorangan Boling Padang Penaga kali ke-3, selepas menewaskan Tobias Tahal dari Kelab Boling Padang Panaga dengan keputusan 15-6 di Gelanggang Kelab Boling Padang Panaga.
Sementara pasangan dari Kelab Boling Wisdon, Nur Uzma Khadijah @ Esmawandy binti Ibrahim dan Muhd Hazmi bin Haji Idris berjaya menduduki tempat ketiga.
Pengerusi Bahagian Sukan Kelab Panaga, Marc Ripoche hadir bagi menyampaikan pingat untuk pemenang.
Seramai 18 orang peserta bersaing untuk mengejar gelaran juara pada acara tahunan itu, termasuk tiga pemain dari Kelab Boling Padang Syarikat Penerbangan Diraja Brunei.
Kelab Panaga disertai oleh lima pemain ekspatriat dari Australia, Scotland dan Republik Ireland.
Sementara Kelab Boling Padang Wisdom diwakili oleh 10 pemain yang terdiri daripada pemain senior dan remaja.
Acara yang dianjurkan bersama oleh Kelab Boling Padang Wisdom dan Kelab Boling Padang Panaga, diadakan untuk mengekalkan momentum permainan boling padang dan untuk mengembangkan sukan tersebut terutamanya di Daerah Belait.
Kelab Boling Padang Panaga merupakan padang yang mula-mula dibina menggunakan rumput asli sebagai padang permainan di negara ini.
Sementara itu, Trofi Berpasangan WBC-PLBC ke-6 dijadualkan akan berlangsung pada 26 Jun di tempat yang sama.