Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muhyiddin jelaskan perintah kawalan

    KUALA LUMPUR, 18 MAC – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini menjelaskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa hari ini bertujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan supaya jumlah orang yang dijangkiti wabak COVID-19 dapat dikurangkan.

    Beliau berkata, menerusi perintah kawalan sehingga 31 Mac itu, rakyat tidak perlu bergerak ke sana sini sehingga boleh mendedahkan mereka kepada jangkitan virus COVID-19.

    “Virus ini berjangkit dari manusia ke manusia menerusi sentuhan. Kalau saudari-saudari bergerak ke sana-sini, apatah lagi bersesak di tempat awam, kemungkinan untuk bersentuhan adalah tinggi,” katanya menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan, malam ini.

    Menjelaskan mengapa perintah itu berkuat kuasa selama dua minggu, Perdana Menteri berkata ia kerana COVID-19 mempunyai hayat inkubasi dua minggu.

    Muhyiddin berkata terdapat kes yang simptom hanya muncul selepas itu.

    “Kerajaan berharap selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas dari COVID-19,” kata beliau.

    Atas alasan itu, jelas beliau, kerajaan mengisytiharkan penutupan sekolah serta pekerja tidak perlu ke tempat kerja.

    “Kerana itu kerajaan mengisytiharkan penutupan sekolah supaya anak-anak kita tidak perlu pergi ke sekolah. Jadi, mereka tidak akan bersentuhan dengan rakan-rakan yang mungkin membawa virus COVID-19.

    “Saudara saudari juga tidak perlu ke tempat kerja supaya saudara saudari tidak bersentuhan dengan orang lain yang mungkin membawa virus ini. Inilah tujuannya,” katanya. – Bernama

    Orang ramai dilihat beratur panjang di kaunter daftar masuk semasa tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda