Muhyiddin: Keperluan vaksin S’wak, negeri lain diambil kira

KUCHING, 2 APRIL – Kerajaan Persekutuan bersetuju bahawa Sarawak perlukan tambahan bekalan vaksin COVID-19 namun keperluan negeri-negeri lain juga perlu diambil kira, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata permintaan itu telah dibincangkan bersama kerajaan Negeri Sarawak dan beliau berpendapat bahawa permintaan itu berasas.

“(Saya setuju) Cuma kita juga perlu lihat dengan lebih terperinci kerana negeri-negeri yang lain juga memerlukan bekalan vaksin.

“Yang penting kita perlu cari jalan supaya kes positif COVID-19 dapat diturunkan,” katanya dalam satu sidang media selepas mengadakan lawatan ke Hospital Umum Sarawak di sini, hari ini. Perdana menteri tiba di Sarawak semalam untuk lawatan kerja selama dua hari.

Pada 18 Mac lalu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kerajaan Negeri Sarawak telah menghantar surat kepada kerajaan Persekutuan mengenai hasratnya membeli sendiri vaksin COVID-19 untuk penduduk negeri itu. Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata faktor bekalan oleh pembekal vaksin juga harus diambil kira oleh kerajaan sebelum boleh meluluskan tambahan vaksin kepada negeri tertentu. – Bernama

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat bilik pembedahan Hospital Umum Sarawak.
Muhyiddin meninjau projek naik taraf di hospital terbabit dan turut ditemani oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kelmarin. –Bernama