Muhyiddin lawat mangsa banjir

CHUKAI, 22 DIS – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meninjau keadaan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di sini.Perdana Menteri  yang tiba pada 1.20 tengah hari bersama beberapa pemimpin termasuk Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dibawa ke bilik taklimat terlebih dahulu bagi mendengar perkembangan terkini keadaan banjir di Terengganu.

Dalam lawatan kira-kira sejam itu, Muhyiddin turut meluangkan masa bertanya khabar dan beramah mesra bersama beberapa orang mangsa serta menyerahkan kit barangan keperluan asas. Kunjungan kali ini adalah yang pertama ke Terengganu sejak beliau dilantik sebagai perdana menteri pada 29 Feb lepas.

PPS SK Bukit Mentok mula dibuka Sabtu lepas untuk menempatkan 669 orang daripada 166 keluarga, namun kini hanya 483 mangsa daripada 140 keluarga yang masih berada di situ dan PPS itu dijangka ditutup petang ini. – Bernama

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua, kanan) beramah mesra bersama mangsa-mangsa banjir Saras Ismail, 86, (dua, kiri) dan Hasnah Daud @ Yaakob (kiri) ketika melakukan lawatan ke pusat pemindahan banjir (PPS) di Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, kelmarin. – Bernama