Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Muhyiddin mengaku tidak bersalah terima RM5 juta

    SHAH ALAM, 13 MAC – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta.

    Muhyiddin, 75, yang juga merupakan Presiden Bersatu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

    “Saya faham pertuduhan, saya mengaku tidak bersalah,” kata Muhyiddin. 

    Mengikut pertuduhan, beliau didakwa sebagai Presiden Bersatu menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank milik parti berkenaan di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya dekat sini, pada 7 Januari 2022.

    Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan

    Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, sabit kesalahan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh dideda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib memohon mahkamah supaya mengguna pakai ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan yang ditetapkan ke atas Muhyiddin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur minggu lepas.

    “Saya juga memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memandangkan ia berkait dengan perbicaraan di sana serta tarikh sebutan di Mahkamah Sesyen tersebut sudah ditetapkan pada 26 Mei ini,” katanya.

    Permohonan itu tidak dibantah peguam mewakili Muhyiddin, iaitu Datuk K. Kumaraendran. – Bernama

    Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba di Mahkamah Shah Alam, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...